Wednesday 21 January 2015

Kronologi Peristiwa Penting
















Tahun















Tarikh















Peristiwa
1863 Januari 12 Kelahiran di Kolkata
1879
Memasuki Presidency College
1880
Berpindah ke General Assembly Institution
1881 November Pertemuan pertama dengan Sri Ramakrishna
1884
Lulus Peperiksaan Sarjana Muda Sastera


Kematian Vishwanath Datta
1885
Sri Ramakrishna jatuh sakit
1886 Ogos 16 Mahasamadhi Sri Ramakrishna

Disember 24 Ikrar Sannyasa di Antpur
1887 Januari Ikara Sannyasa secara formal di Biara Baranagore
1892 Disember 24 Di Kanyakumari, India Selatan
1893 Februari 13 Ceramah umum pertama di Secunderabad, India Selatan

Mei 31 Bertolak dari Pelabuhan Bombay ke Amerika

Julai 25 Mendarat di Vancouver, Kanada

Julai 30 Tiba di Chicago

Ogos Bertemu dengan Profesor John F Wright dari Universiti Harvard

September 11 Ucaptama di Persidangan Agama-Agama Dunia, ,Chicago

September 27 Ucapan akhir di Persidangan Agama-Agama Dunia

November 20 Permulaan lawatan ceramah di barat tengah Amerika
1894 April 14 Permulaan ceramah dan kelas di pantai timur Amerika

Mei 16 Berucap di Universiti Harvard

Julai-Ogos Di Religious Conference Green Acre

November Penubuhan Vedanta Society of New York
1895 Januari Permulaan kelas-kelas di New York

Jun 4-18 Di Camp Percy, New Hampshire

June-Ogos Di Thousand Island Park di St. Lawrence River, New York

Ogos-September Di Paris

Oktober-November Ceramah di London

Disember 6 Belayar ke New York
1896 Mac 22-25 Berucap di Harvard University, ditawarkan Eastern Philosophy Chair

April 15 Kembali ke London
1896 Mei - Julai Mengadakan kelas-kelas di London

Mei 28 Berjumpa dengan Max Muller di Oxford

Ogos - September Lawatan Eropah selama 6 minggu

Oktober - November Mengadakan kelas-kelas di London

Disember 30 Bertolak dari Naples ke India
1897 Januari 15 Tiba di Colombo

Februari 6-15 Di Chennai

Februari 19 Tiba di Kolkata

Mei 1 Penubuhan Ramakrishna Mission Association, Kolkata

Mei - Disember Lawatan barat-laut India
1898 Januari Kembali ke Kolkata

Mei Lawatan ibadah di India Utara bersama-sama pengikut Barat

Ogos 2 Di Amarnath, Kashmir

Disember 9 Perasmian Biara Belur
1899 Mac 19 Penubuhan Advaita Ashrama, Mayavati

Jun 20 Bertolak dari India ke negara-negara Barat untuk kali kedua

Julai 31 Tiba di London

Ogos 28 Tiba di New York

Ogos-November Di Ridgely Manor, New York

Disember 3 Tiba di Los Angeles
1900 Februari 22 Tiba di San Francisco

April 14 Penubuhan Vedanta Society di San Francisco

Jun Kelas-kelas akhir di New York

Julai 26 Bertolak ke Eropah

Ogos 3 Tiba di Paris untuk Eksposisi Antarabangsa

September 7 Berucap di Kongres Sejarah Agama di Eksposisi Antarabangsa

Oktober 24 Memulakan lawatan Vienna, Constantinople, Greece and Cairo

November 26 Bertolak ke India

Disember 9 Tiba di Biara Belur
1901 Januari Lawatan ke Mayavati

Mac - Mei Lawatan ibadah ke Bengal Timur dan Assam
1902 Januari - Februari Lawatan ke Bodh Gaya dan Varanasi

Mac Kembali ke Biara Belur

Julai 4 Mahasamadhi

Biografi Vivekananda

Swami Vivekananda (bahasa Bengali: স্বামী বিবেকানন্দ Shami Bibekanondo) (12 Januari, 1863 - 4 Julai, 1902) merupakan seorang rahib Hindu dan pengikut utama Sri Ramakrishna. Beliau ialah tokoh utama yang memperkenalkan falsafah Vedanta dan Yoga di negara-negara Barat pada lewat kurun ke-19. Swami Vivekananda juga merupakan tokoh yang berjaya memberikan agama Hindu status sebagai salah satu agama utama di dunia. Beliau juga memainkan peranan penting dalam membawa pembaharuan dan kebangkitan semula agama Hindu di India yang pada ketika itu menghadapi ancaman kepupusan akibat pengaruh budaya Barat. 


Vivekananda memiliki peribadi yang amat dikenali dunia sebagai seorang pemimpin Hindu. Beliau ialah Swami (rahib) Hindu pertama yang melawat negara-negara Barat untuk menyebarkan agama Hindu, Yoga dan falsafah Vedanta dalam Persidangan Agama-Agama Dunia (World's Parliament of Religions) yang diadakan sempena World's Fair di Chicago pada tahun 1893. Kejayaannya di Chicago disusuli dengan pengenalan falsafah India ke seluruh benua Amerika dan Eropah. 

Swami Vivekananda merupakan tokoh terulung yang memperkenalkan falsafah Vedanta (falsafah Hindu yang popular) dan Yoga di dunia Barat. Antara sumbangan utamanya adalah meningkatkan taraf agama Hindu sebagai sebuah agama utama di dunia. Beliau berperanan membangkitkan semula agama Hindu di India. Vivekananda juga menubuhkan Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission. Ucapan beliau di Chicago pada tahun 1893 dalam Persidangan Agama-Agama Dunia dianggap sebagai ucapan pengenalan agama Hindu yang paling popular. 

Berasal daripada keluarga bangsawan Bengali di Kolkata (dahulu dikenali sebagai Calcutta), Vivekananda tertarik dengan kehidupan rohani sejak kecil lagi. Beliau menjadi pengikut Sri Ramakrishna (1836-1886), seorang alim di Dakshineswar, Kolkata. Sri Ramakrishna mengajar bahawa semua hidupan ialah manifestasi Tuhan. Oleh itu, khidmat kepada manusia ialah sama seperti pemujaan Tuhan. Selepas kematian gurunya, Vivekananda merantau di seluruh benua India dan memahami suka-duka penduduk negaranya. Ketika itu, India berada di bawah penjajahan Inggeris. Seterusnya, Vivekananda berlayar ke Amerika Syarikat untuk menyertai Persidangan Agama-Agama Dunia pada tahun 1893. Vivekananda memberikan ratusan ceramah umum, perbincangan dan kelas-kelas bagi menyebarkan falsafah Hindu di Amerika Syarikat, England dan Eropah.

Rumah Pusaka Vivekananda, Kolkata

Kehidupan Awal (1863–1888)
Nama asal Vivekananda ialah Narendranath Datta (disingkatkan kepada Narendra atau Naren). Beliau dilahirkan di rumah pusakanya di No.3, Gourmohan Mukherjee Street, Calcutta pada 12 Januari 1863. Ketika itu Kolkata menjadi pusat pemerintahan kerajaan British di India. Bapanya, Vishwanath Datta menjadi seorang peguam di Mahkamah Tinggi Kolkata. Bhuvaneshwari Devi, ibu Narendra ialah seorang wanita yang beriman.

Selama bertahun-tahun, Bhuvaneshwari telah mengidamkan seorang anak lelaki. Beliau berpuasa, berdoa dan bersembahyang kepada Dewa Vireshwar (salah satu nama Dewa Siva) di Kashi. Akhirnya, doa beliau berhasil dan beliau mendapat seorang anak lelaki. Beliau menamakan anaknya sebagai Vireshwar. Orang Bengali menyebut 'Vireshwar' sebagai 'Bireshwar'. Singkatan untuk Bireshwar ialah 'Biley'. Begitulah Vireshwar menjadi 'Biley'. 

Narendra meminati kehidupan rohani sejak kecil lagi. Beliau suka bermain ‘meditasi’ iaitu duduk dengan menutup matanya di hadapan patung dewa-dewi. Beliau juga amat tertarik dengan rahib-rahib dan golongan fakir. Narendra seorang kanak-kanak yang nakal dan cerdas. Bhuvaneshwari Devi berkata, “Saya berdoa kepada Dewa Shiva untuk mengurniakan saya seorang anak. Rupa-rupanya Dia telah memberikan saya salah seorang jembalang-Nya”.
Bhuvaneshwari Devi (1841-1911) 



Pendidikan
Pada tahun 1871, Narendra memasuki Metropolitan Institution yang ditubuhkan oleh Ishwar Chandra Vidyasagar. Beliau menuntut di sini sehingga keluarganya berpindah ke Raipur pada tahun 1877. Selepas keluarganya kembali ke Kolkata pada tahun 1879, Narendra mendaftar di Presidency College untuk menduduki peperiksaan kemasukan. 

Beliau seorang yang kuat membaca dan beliau berminat dalam pelbagai bidang, khususnya falsafah, agama, sejarah, sains sosial, seni dan sastera. Beliau juga mengemari sastera Hindu seperti kitab-kitab Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, Ramayana, Mahabharata dan Purana. Selain itu, beliau juga seorang seniman yang terlatih dalam seni muzik India, dan beliau sering menyertai senaman fizikal, sukan dan sebagainya. Narendra juga menpelajari seni masakan daripada bapanya, Vishwanath Datta. 


Zaman Remaja

Pada tahun 1871, Narendra memasuki Metropolitan Institution yang ditubuhkan oleh Ishwar Chandra Vidyasagar. Beliau menuntut di sini sehingga keluarganya berpindah ke Raipur pada tahun 1877. Selepas keluarganya kembali ke Kolkata pada tahun 1879, Narendra mendaftar di Presidency College untuk menduduki peperiksaan kemasukan. Pada awal tahun berikutnya, Narendra memasuki General Assembly Institution (kini dikenali sebagai Scottish Church College) dalam jurusan sastera.  Dalam tahun 1881, beliau lulus dalam peperiksaan First Arts, dan menamatkan Sarjana Muda Sastera pada tahun 1884. Sama seperti bapanya, Narendra juga ingin menjadi seorang peguam. Oleh itu, beliau menyertai kursus undang-undang dan berhasrat untuk meneruskan pendidikan undang-undang di negara England.

Narendra memilih ilmu falsafah barat, sejarah Eropah dan ilmu logik sebagai mata pelajaran utamanya. Beliau amat meminati mata pelajaran sejarah. Beliau amat tertarik dengan teori evolusi Herbert Spenser dan sering berutus surat dengan Spenser. Beliau juga menterjemahkan sebuah buku Spenser bertajuk Education (1861) ke dalam Bahasa Bengali. Selain itu, beliau juga mempelajari sastera agama dalam Bahasa Sanskrit dan kesusasteraan Bengali. William Hastie (pengetua General Assembly's Institution) menulis mengenainya, “Narendra memang seorang genius. Saya telah merantau ke seluruh dunia tetapi saya tidak pernah bertemu dengan seorang budak yang cerdik dan berkebolehan sepertinya. Malah, di universiti-universiti German pun, tidak ada seorang penuntut sebijaknya.”


Narendra menjadi seorang ahli Freemason dan Sadharan Brahmo Samaj yang diketuai oleh Keshab Chandra Sen dan Devendranath Tagore. Ketika ini, beliau mula dipengaruhi dengan konsep-konsep Brahmo Samaj, termasuk kepercayaan kepada Tuhan yang Tak Berupa dan beliau menghentikan penyembahan berhala. 

Dengan pemikiran yang mendalam, kedahagaan rohaninya untuk mengetahui rahsia ketuhanan mula bergelora.  Ketika ini, Narendra bertemu dengan Devendranath Tagore dan menyoalnya sama ada beliau pernah melihat Tuhan. Devendranath tidak menjawab soalan itu. Sebaliknya, beliau berkata, “Kamu mempunyai mata seorang Yogi.” Narendra tidak berpuas hati dengan falsafah semata-mata. Beliau ingin mengetahui sama ada seorang manusia boleh mengenali dan melihat Tuhan. Beliau berjumpa dengan ramai lagi tokoh-tokoh terkenal di Calcutta dan menyoal sama ada mereka pernah melihat Tuhan. Tiada sesiapapun yang dapat memberikan jawapan yang memuaskan hatinya. 
  

Pertemuan dengan Sri Ramakrishna
Sri Ramakrishna

Narendra telah mendengar tentang Sri Ramakrishna daripada pengetua kolejnya, Reverend W.Hastie yang mengajarnya sastera Inggeris. Ketika menerangkan tentang keadaan ‘keghairahan rohani’ yang digambarkan dalam sajak Wordsworth bertajuk ‘The Excursion’, Hastie meminta pelajar-pelajarnya untuk melawat seorang alim bernama Sri Ramakrishna sekiranya mereka berminat untuk memahami maksud perkataan itu dengan lebih jelas. Hastie memberitahu mereka bahawa beliau pernah melihat Sri Ramakrishna mengalami keghairahan rohani. 

Dalam musim sejuk, November 1881, Surendra, seorang jiran dan sahabat, menjemput Narendra untuk menyanyikan beberapa buah lagu suci dalam satu majlis. Tetamu khas pada hari itu adalah Sri Ramakrishna. Selepas mendengar nyanyian Narendra yang menyentuh kalbu, Sri Ramakrishna telah menyoal Surendra mengenainya. Beliau juga telah meminta Surendra untuk membawa Narendra ke Dakshineshwar.

Pertemuan pertama Narendra dan Sri Ramakrishna amat bermakna. Sri Ramakrishna sendiri menceritakannya begini: “Narendra memasuki kamar ini melalui pintu barat, yang menghadap Ganges. Saya mendapatinya tidak peduli tentang perwatakannya. Rambut dan pakaiannya tidak kemas. Berbanding dengan teman-temannya, dia kelihatan amat tersisih, seolah-olah dia tidak berminat dengan dunia ini. Matanya menunjukkan bahawa sebahagian besar mindanya sentiasa berada dalam renungan. Apabila saya melihat ini, saya berasa kagum. Macam manakah seorang yang beraspirasi rohani begini boleh tinggal di Calcutta, tempat orang-orang yang materialistik? Segulung tikar telah dibentang di atas lantai. Saya memintanya untuk duduk. Dia duduk bersila berdekatan kendi air Ganges. Beberapa orang rakannya berada bersama-samanya pada hari itu. Saya mendapati bahawa mereka hanya orang-orang duniawi yang biasa dan berfikir hanya tentang keseronokan mereka.” Pada pertemuan pertama ini, Sri Ramakrishna meminta Narendra untuk menyanyikan beberapa buah lagu. Narendra menyanyikan sebuah lagu yang kini sangat popular dalam Bahasa Bengali berjudul "Mano Chalo Nije Niketana" (Oh Hati, baliklah ke rumah kita sendiri!) 

Kuil Dakshineswar, Kolkata

Pada pertemuan pertamanya dengan Sri Ramakrishna, Narendra mengajukan soalan yang beliau telah tanya kepada ramai orang-orang alim – “Bolehkah manusia melihat Tuhan?” Lantas, Sri Ramakrishna menjawabnya: “Ya, Tuhan boleh dilihat sama seperti saya sedang melihat kamu dan bercakap dengan kamu, tetapi dengan lebih jelas lagi. Siapakah yang mahu melihat dan bercakap kepada Tuhan? Demi isteri, anak-anak, wang, dan harta benda, orang menderita dan mencurahkan air mata – tetapi siapakah yang menangis untuk melihat Tuhan? Jika benar-benar seseorang ingin untuk melihat Tuhan dan menyeru-Nya, Tuhan akan pasti mendedahkan Diri-Nya kepada orang itu.” Kesungguhan dan kejujuran di sebalik kata-kata ini menyentuh hati Narendra. Pertama kali dalam hidupnya beliau berjumpa dengan seorang yang dapat mengakui bahawa manusia boleh melihat Tuhan. Beliau juga berasa tertarik dengan kesucian dan sifat polos Sri Ramakrishna.

Guru and Pengikut

Narendra mula melawat Sri Ramakrishna di Dakshineshwar dengan lebih kerap. Pendidikan moden Inggeris telah memberinya pemikiran yang kritikal dan beliau tidak menerima sesuatu tanpa bukti. Narendra menerima Sri Ramakrishna sebagai gurunya hanya selepas menguji beliau sepenuhnya. Sri Ramakrishna sendiri sering menguji Narendra untuk memastikan bahawa beliau ialah instrumen yang sesuai untuk menjalankan tugas yang beliau akan serahkan kepadanya. 

Kematian bapa Narendra pada Februari 1884, menukar nasib keluarganya. Saudara-mara mereka cuba untuk menghalau keluarganya dari rumah pusaka mereka. Narendra terpaksa menanggung beban keluarganya. Usahanya untuk mencari pekerjaan juga tidak berjaya. Pada mulanya, beliau meragui kewujudan Tuhan yang nampaknya tidak mendengar doanya. Hanya kepercayaannya kepada Sri Ramakrishna memberinya kekuatan. 

Seterusnya, pada tahun 1885, Sri Ramakrishna jatuh sakit dan berpindah ke Kolkata dan kemudian ke sebuah rumah taman di Kasipur (juga dieja sebagai Cossipore). Narendra dan beberapa orang pengikut muda Sri Ramakrishna mengambil tugas menjaga Sri Ramakrishna. Di Kasipur, keinginan Narendra untuk mengalami Nirvikalpa Samadhi berhasil. Tidak lama kemudian, Narendra dan beberapa orang lain menerima kalungan rudraksha dan kain jingga rahib daripada Sri Ramakrishna. Ini menandakan bahawa Sri Ramakrishna sendiri merestui mereka untuk menjadi rahib. Demikian, lahirnya Ramakrishna Sangha (gabungan pertubuhan kembar yang dikenali sebagai Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission). Sri Ramakrishna juga memberikan amanat kepada Narendra untuk membimbing rahib-rahib lain selepas kematiannya.

Biara Baranagore, Januari 30, 1887

Persaudaraan Rahib 

Selepas kematian Sri Ramakrishna, pengikut-pengikutnya kembali kepada kehidupan seharian mereka. Narendra sebaliknya, bertekad untuk menyatukan mereka di bawah bumbung yang sama. Dengan bantuan kewangan daripada Surendranath Mitra, sebuah rumah usang disewa di Baranagore. Ia menjadi biara pertama pengikut-pengikut Ramakrishna yang menjadi rahib. Narendra dan beberapa orang pemuda lain melakukan disiplin rohani seperti meditasi, Japa, nyanyian lagu-lagu suci, mempelajari Veda dan Vedanta dan sebagainya.


Pada 24 Disember 1886, Narendra dan lapan orang saudara segurunya mengambil ikrar rahib di Antpur. Mereka bertekad untuk hidup demi menyebarkan ajaran Sri Ramakrishna. Peristiwa di Antpur diikuti dengan upacara Viraja Homa yang diadakan di Baranagore. Selepas melakukan Viraja Homa mengikut tradisi rahib Dashanami, Narendra dan saudara-saudara segurunya mengambil ikrar rahib secara formal dan menerima nama baru. Narendra sendiri memilih nama-nama baru mereka. Bagi dirinya sendiri, beliau memilih nama "Swami Vividishananda". Namun, beberapa tahun kemudian, atas permintaan Raja Ajit Singh, pemerintah Khetri, beliau menukar namanya kepada Swami Vivekananda.

Rahib Muda

Pada tahun 1888, Narendra mula merantau ke seluruh India sebagai seorang Parivrâjaka – (seorang fakir yang tiada tempat kediaman tetap, tiada ikatan dan bebas). Hartanya cuma sebatang tongkat, sebuah kamandalu (kendi air) dan dua buah buku kegemarannya – Bhagavad Gita dan The Imitation of Christ. Selama lima tahun, beliau merantau dan melawat tempat-tempat suci dan mempelajari pelbagai aspek agama dan kehidupan masyarakat India. Ketika ini, beliau belajar untuk bersimpati dengan penderitaan dan kemiskinan penduduk negaranya. Beliau mula mencari jalan untuk membangkitkan semula negaranya. Dalam perjalanan ini, beliau berinteraksi dengan pelbagai golongan seperti golongan diraja, orang-orang Hindu, Muslim, Kristian, golongan yang ditindas masyarakat, pegawai-pegawai kerajaan dan sebagainya.

Pada tahun 1888, Narendra menuju ke destinasi pertamanya, Varanasi. Beliau melawat tempat-tempat di mana Gautama Buddha dan Sri Sankaracharya memberikan khutbah. Beliau juga bertemu dengan Trailanga Swami, seorang alim di Varanasi. Babu Pramadadas Mitra, seorang pendeta Sanskrit juga berkawan dengan Narendra ketika ini. Narendra sering berutusan surat dengan Pramadadas Mitra untuk mendapatkan penjelasan tentang teks-teks Hindu. 

Semasa berada di Sarnath, berdekatan Varanasi, suatu peristiwa yang membawa teladan kepadanya berlaku. Pada suatu pagi, beliau sedang berjalan berdekatan sebuah tangki air selepas mengunjungi kuil Dewi Durga. Tiba-tiba, beliau dikerumuni sekumpulan monyet besar. Monyet-monyet itu enggan untuk memberi laluan dan mula menyerangnya. Apabila beliau cuba untuk berlari, kumpulan itu mengejarnya dengan pantas. Seorang fakir tua yang melihat ini, memanggilnya: “Jangan berlari! Hadapi binatang itu.” Narendra berhenti dan berpusing berhadapan dengan monyet-monyet yang mengejarnya. Melihat ini, binatang-binatang itu berhenti mengejarnya dan melarikan diri dari tempat itu. “Itu satu pedoman untuk seumur hidup – berdepanlah dengan keburukan, hadapinya dengan berani. Seperti monyet-monyet itu, kesusahan hidup berundur ke belakang apabila kita berhenti melarikan diri darinya. Jika kita hendak mencapai kebebasan, ia mesti dengan cara menakluki alam, bukan dengan melarikan diri darinya. Pengecut-pengecut tidak akan berjaya. Kita mesti berlawan dengan ketakutan, kesusahan dan kejahilan jika kita mahu melepaskan diri darinya.”

Dari Varanasi, Narendra merantau ke Ayodhya, Lucknow, Agra, Vrindavan, Hathras dan Rishikesh. Pada September 1888, beliau berhenti di Hathras. Seorang pegawai stesen keretapi bernama Sharat Chandra Gupta berjumpa dengannya dan menjemputnya untuk makan di rumahnya. Beliau menerima jemputan itu dan seterusnya menetap di rumah Sharat untuk beberapa hari. Ketika beliau hendak meneruskan perjalanannya, Sharat mendesaknya untuk menerimanya sebagai pengikut.

Narendra berkata, “Bolehkah kamu mengikut saya? Jika begitu, ambil mangkuk saya dan pergi ke rumah pekerja-pekerja stesen keretapi dan mengemis.” Sebaik sahaja menerima arahan ini, Sharat pergi mengemis makanan daripada pekerja-pekerja bawahannya. Melihat kesungguhan Sharat, Narendra menerimanya sebagai pengikut dan menamakannya sebagai Swami Sadananda. 

Narendra dan Sadananda bertolak ke Hrishikesh. Sadananda yang selama ini telah hidup selesa tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan kesukaran hidup seorang fakir. Ketika merantau di perkampungan Himalaya yang terpencil, dia jatuh pengsan kerana kelaparan dan kehausan. Narendra mendukungnya dari tempat itu. Apabila Sadananda langsung tidak bermaya untuk mengangkat apa-apa, Narendra sendiri membawa barang-barangnya termasuk kasutnya. 

Pertemuan dengan Pavhari Baba
Sekitar tahun 1888 dan 1890, Narendra melawat Vaidyanath dan Allahabad. Dalam Januari 1890, beliau sampai di Ghazipur melalui Allahabad. Di sini, beliau bertemu dengan Pavhari Baba, seorang petapa terkenal. Selepas bertemu dengan petapa itu, Narendra teringin untuk menjadi pengikutnya untuk mempelajari Hatha Yoga. Namun, keinginan Narendra tidak direstui oleh Sri Ramakrishna. Pada malam sebelum beliau mengambil Diksha daripada Pavhari Baba, Sri Ramakrishna muncul dalam mimpi Narendra dan menegahnya. Mimpi ini berulang selama beberapa malam. Akhirnya, Narendra menukar fikirannya. Beliau sedar bahawa hanya Sri Ramakrishna boleh menjadi gurunya.

Kehidupan Perantau

Kembali ke Biara Baranagore dan Merantau di Himalaya (1890-91)

Pada awal tahun 1890, Narendra terpaksa pulang ke Biara Baranagore. Kematian Balaram Bose dan Surendranath Mitra menyebabkan biara itu mengalami tekanan kewangan yang kuat. Tiada sesiapa pun dalam kalangan pengikut Sri Ramakrishna yang mampu menanggung beban kewangan biara itu. Akhirnya, Girish Chandra Ghose dan Mahendranath Gupta menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Narendra berasa lega. Tidak lama kemudian, pada bulan Julai tahun yang sama, beliau bertolak ke pergunungan Himalaya ditemani oleh Swami Akhandananda, seorang saudara segurunya.

Perjalanan ini merupakan langkah pertama yang membawa Narendra ke Barat. Dalam perjalanan ini, beliau melawat tempat-tempat ibadat seperti Nainital, Almora, Srinagar, Dehradun, Rishikesh dan Haridwar. Pada minggu pertama Ogos 1890, Narendra dan Akhandananda tiba di Bhagalpur dan mula menetap di tebing sungai Ganges. Walaupun kelihatan penat, muka rahib-rahib muda ini bersinar dengan cahaya rohani. Sekali pandang, orang menjadi tertarik dan datang untuk berkenalan dengan mereka. Pada suatu hari, selepas perjalanan yang jauh tanpa makanan, mereka duduk di tepi jalan yang menghadap sebuah perkuburan Muslim. Narendra hampir pengsan kerana lemah. Akhandananda meninggalkannya di tempat itu untuk mencari air. Penjaga perkuburan itu adalah seorang fakir Muslim yang mempunyai sebuah pondok berdekatan. Melihat keadaan Narendra, dia menyuapnya dengan sebiji timun, satu-satunya makanan yang dia ada. Selepas memakan timun itu, Narendra mendapat sedikit tenaga. Sebentar kemudian, Akhandananda datang membawa air. Tujuh tahun kemudian, apabila Narendra melawat Almora sebagai Swami Vivekananda yang mashyur, fakir ini masih kekal dalam ingatannya. Dengan penuh bersyukur, beliau menceritakan jasa fakir itu kepada teman-temannya, “Lelaki ini sesungguhnya telah menyelamatkan nyawa saya,” lalu memberikannya sedikit wang sebagai tanda penghargaan.

Secara kebetulan, semasa berada di Meerut, Narendra tersempak dengan saudara-saudara segurunya,  Swami Brahmananda, Saradananda, Turiyananda dan Advaitananda. Semua orang berasa seolah-olah mereka telah kembali ke Biara Baranagore! Selama beberapa hari, mereka tinggal serumah dan meneruskan dengan aktiviti meditasi, sembahyang dan mempelajari sastera agama. Pada akhir bulan Januari 1891, Narendra mengucapkan selamat tinggal kepada saudara-saudara segurunya dan meneruskan perjalanan ke Delhi.

Rajputana (1891)

Belgaum, Oktober 1892
Selepas melawat tempat-tempat bersejarah di Delhi, Narendra meneruskan perjalanannya. Destinasi seterusnya ialah Rajputana. Pada Februari 1891, beliau tiba di Alwar. Penduduk Hindu dan Muslim Alwar menerima kedatangannya dengan ceria. 

Narendra berkenalan dengan Raja Alwar bernama Mangal Singh. Raja itu seorang yang berpendidikan barat dan berfikiran moden. Mangal Singh bertanya dengan senyuman, “Beta tidak percaya pada penyembahan berhala. Tengok, beta tidak boleh menyembah kayu, tanah, batu, atau logam, seperti orang lain. Jadi apakah nasib beta selepas beta mangkat?” Narendra menjawap, “Saya rasa setiap manusia harus mengikuti agama yang dipercayainya.” Kemudian, Narendra meminta tuan rumahnya untuk membawa gambar Mangal Singh yang digantung di dinding rumah itu. Beliau mengambil gambar itu dan berkata kepada tuan rumahnya, “Ludah ke atas gambar ini! Sesiapa sahaja boleh meludah ke atas gambar ini.” Semua orang yang berada di dalam bilik itu menjadi kaku. Apabila Narendra mengulangi “Ludah ke atasnya!” Tuan rumahnya membantah, “Apa yang Swamiji minta saya lakukan? Ini adalah gambar Maharaja kami. Macam mana saya boleh melakukan perkara begitu?” Narendra berujar, “Ia cuma gambar sahaja. Cuma sekeping kertas sahaja. Namun kamu enggan untuk meludah ke atasnya kerana ia adalah bayangan Maharaja kamu. Gambar ini mengingatkan kamu tentang Maharaja kamu. Oleh itu, meskipun ia cuma satu objek yang tidak bernyawa, kamu memberinya penghormatan yang sama kamu berikan kepada Maharaja kamu.” Kemudian Narendra berpaling kepada Mangal Singh dan berkata, Tengok, tuanku; demikian juga penyembahan berhala. Berhala yang diperbuat daripada tanah liat atau logam atau kayu mengingatkan seorang pemuja tentang Tuhan Yang Maha Esa. Berhala itu bukan Tuhan tetapi ia mengingatkan pemuja tentang Tuhan. Tidak ada orang yang memuja berhala, mengatakan, “Wahai Batu, saya menyembah-Mu. Wahai Logam, tolong berkati saya.”

Dari Alwar, Narendra bertolak ke Jaipur. Di sini, dengan panduan seorang pendeta Sanskrit, beliau mempelajari Ashtadhyayi oleh Panini. Kemudian, beliau menuju ke Ajmer dan melawat istana Akbar dan Dargah Sharif. Di Gunung Abu, beliau bertemu dengan Raja Ajit Singh, pemerintah Khetri. Raja Ajit Singh menjadi seorang pengikut setia dan sahabat karibnya. 

Di Khetri, Narendra memberikan ajaran rohani dan membincangkan pelbagai topik seperti politik, sains, pentadbiran, sejarah dan sebagainya. Beliau juga mempelajari Mahabhasya Panini. Lebih dua bulan kemudian, pada Oktober 1891, beliau bertolak ke Maharashtra.


India Barat (1891–1892)

Narendra melawat Ahmedabad, Wadhwan dan Limbdi. Di Ahmedabad, beliau menyempurnakan pengajian kebudayaan Islam dan Jain. Di Limbdi, beliau bertemu dengan Thakur Saheb Jaswant Singh yang telah kembali dari England dan Amerika. Thakur Saheb merupakan orang pertama yang mencadangkan kepada Narendra untuk mengajar Vedanta di negara-negara Barat. 

Seterusnya, Narendra melawat Junagadh dan menjadi tetamu Haridas Viharidas Desai, seorang pegawai istana. Haridas menjadi amat tertarik dengan Narendra. Dalam pertemuan pertama mereka, dia membawa semua pegawai istana untuk bertemu dengan Narendra dan berbual-bual dengannya sehingga lewat malam. Narendra juga melawat Girnar, Kutch, Porbander, Dwaraka, Palitana, Nadiad, dan Baroda. Beliau berada di Porbander selama sembilan bulan dan meneruskan pembelajaran Sanskrit dan falsafah. 

Mahabaleshwar, Pune, Khandwa dan Indore merupakan destinasi berikutnya. Semasa berada di Kathiawar, beliau mendengar tentang Persidangan Agama-Agama Dunia (Parliament of the World's Religions). Penyokong-penyokongnya mendesaknya untuk menyertai persidangan itu sebagai seorang wakil agama Hindu. Selepas berhenti sebentar di Bombay dalam bulan Julai 1892, Narendra bertemu dengan Bal Gangadhar Tilak dalam perjalanan. Beliau menjadi tetamu Tilak di Pune. Kemudian, beliau melawat Belgaum dalam Oktober 1892 dan bertolak ke Panaji dan Margao di Goa. Beliau juga mendapat peluang untuk mempelajari teks-teks agama Kristian dalam bahasa Latin di Rachol Seminary, iaitu sebuah biara tertua di Goa. 


Selatan (1892–1893)
Narendra seterusnya melawat Bangalore dan berkenalan dengan K. Seshadri Iyer (seorang pegawai istana negeri Mysore ). Iyer memperkenalkan Narendra kepada Raja Mysore, Chamaraja Wodeyar. Atas jemputan Wodeyar, Narendra tinggal di istana Mysore sebagai tetamu. Raja itu juga memberikan beliau sepucuk surat pengenalan kepada pegawai istana Cochin.

India Selatan 
Vivekananda Rock Memorial, Kanyakumari

Dari Bangalore, Narendra melawat Trissur, Kodungalloor dan Ernakulam. Seterusnya, beliau melawat Trivandrum,  Nagerkoil dan akhirnya tiba di Kanyakumari. Ia adalah Disember 1892, beberapa hari sebelum Hari Krismas. 

Di Kanyakumari, Narendra bermeditasi di atas seketul batu besar (kini, dikenali sebagai Vivekananda Rock Memorial). Di sinilah Narendra mendapat ilham untuk rancangan pembaharuan India. Dari Kanyakumari, beliau melawat Madurai dan bertemu dengan Raja Ramnad, Bhaskara Sethupathi. Raja itu menjadi pengikutnya dan mendesaknya untuk menghadiri Persidangan Agama-Agama Dunia di Chicago. 

Dari Madurai, Narendra meneruskan perjalanan ke Rameswaram, Pondicherry dan Madras (kini dikenali sebagai Chennai). Di Madras, beliau bertemu dengan beberapa orang pemuda yang menjadi pengikut setianya. Dalam kalangan mereka ialah, Alasinga Perumal yang memainkan peranan utama untuk mengutip derma bagi pelayaran Vivekananda ke Amerika. Dengan derma yang dikutip oleh pengikut-pengikutnya di Madras dan sumbangan raja-raja Mysore, Ramnad, Khetri dan ramai lagi, Narendra bertolak ke Chicago dari pelabuhan Bombay pada 31 Mei 1893. Sebelum memulakan pelayaran ini, beliau menukar namanya kepada Swami Vivekananda atas cadangan Raja Ajit Singh.

Lawatan pertama ke Barat  (1893–1897)

Wakil-wakil Persidangan Agama-Agama Dunia
Vivekananda memulakan pelayaran ke Barat pada 31 Mei 1891. Dalam pelayaran laut ini, beliau berpeluang untuk melawat  negara-negara Singapura, Jepun (termasuk Nagasaki, Kobe, Yokohama, Osaka, Kyoto dan Tokyo), China dan Kanada. Dari Kanada, beliau menaiki keretapi ke Chicago dan sampai di destinasinya pada 30 Julai 1893. 

Pengalaman pertama Vivekananda di Chicago amat menghampakannya. Persidangan Agama-Agama Dunia telah ditunda ke bulan September. Tarikh untuk pendaftaran delegasi telah tamat dan beliau juga tidak mempunyai surat pengesahan daripada mana-mana institusi untuk mewakili agama Hindu. Dalam keadaan ini, beliau bertolak ke rumah Cik Kate Sanborn di Ladang Breezy Meadows di Metcalf, Massachucetts. Dalam perjalanan keretapi ke Chicago, Swamiji telah berkenalan dengan Cik Kate Sanborn. Beliau seorang penceramah dan penulis terkenal zaman itu. Cik Sanborn juga mengagumi Swamiji yang petah dalam bahasa Inggeris dan berpengetahuan luas. Oleh itu, beliau menjemput Swamiji ke rumahnya. Ketika menjadi tetamu Cik Sanborn, Swamiji berkenalan dengan Professor John Henry Wright daripada Universiti Harvard. Professor Wright, tertarik dengan personalit Swamiji berkata, "Untuk meminta kelayakan tuan adalah sama seperti menyoal matahari tentang kelayakannya untuk bersinar." 

Professor Wright, kemudiannya memberikan sepucuk surat dan alamat Dr Barrows. Swami Vivekananda kembali ke Chicago. Sebaik sahaja Swamiji turun daripada keretapi, beliau mendapati alamat Dr Barrows telah tercicir. Apabila beliau cuba untuk meminta bantuan daripada orang ramai, beliau menghadapi masalah baru. Di bahagian kota itu kebanyakan orang adalah berbangsa Jerman dan mereka langsung tidak faham bahasa Inggeris. Akhirnya, dengan bergantung kepada Tuhan, Swamiji duduk di atas sebuah kotak besar di gudang stesen keretapi dan tertidur.  

Keesokan paginya, Swamiji bangun dengan menghirup udara yang bersih dan dengan mengikuti arah bau itu, beliau sampai di Lake Shore Drive. Itu sebuah kawasan perumahan jutawan-jutawan dan golongan peniaga. Swamiji berasa sangat lapar. Beliau mula berjalan dari rumah ke rumah dan mengetuk pintunya, meminta sedikit makanan dan arah ke pejabat Dr Barrows. Pakaian beliau yang pelik, selekeh dan berkedut, dan keadaan beliau yang penat dan tidak bercukur, menyebabkan beliau menerima layanan kasar. Malah, orang-orang gaji juga mengherdik beliau dan menghalaunya. Akhirnya, dengan letih, beliau duduk di tepi jalan.

Puan Hale
Selepas beberapa lama, tiba-tiba pintu rumah di jalan bertentangan terbuka. Seorang wanita keluar dan datang ke arah Swamiji. Beliau bertanya dengan suara yang lembut, “Tuan, adakah tuan seorang wakil untuk Persidangan Agama-Agama?” Swamiji mendongak, melihat wanita bangsawan itu dan mula menceritakan kisahnya. Tanpa teragak-agak, wanita itu yang bernama Puan Hale, menjemput Swamiji ke rumahnya. Beliau berjanji untuk membawa Swamiji ke pejabat pegawai Persidangan itu. 

Puan Hale dan suaminya Encik Hale tinggal bersama-sama dua orang anak perempuan mereka, Mary dan Harriet dan dua orang anak saudara Encik Hale, Isabelle dan Harriet McKindley. Di rumah Hale, Swamiji menemui sebuah keluarga yang penuh penyayang. Keluarga itu menerimanya sebagai seorang saudara sendiri. Sepanjang hayat, Swamiji memanggil Puan Hale sebagai ‘ibu’ dan Encik Hale sebagai ‘bapa’, dan anak-anak mereka menjadi adik-adik kesayangannya. Rumah Hale di Dearbon Avenue, Chicago pula menjadi kediaman Swamiji di Amerika Syarikat.

Puan Hale, selepas memastikan Swamiji telah bercukur dan bersarapan, membawanya ke pejabat pegawai Persidangan Agama-Agama Dunia. Nama Swamiji didaftarkan sebagai delegasi agama Hindu dari India. Demikian, Vivekananda berjaya menjadi delegasi dalam Persidangan Agama-Agama Dunia. 

Persidangan Agama-Agama Dunia

Di Chicago,  1893
Pada 11 September 1893, Persidangan Agama-Agama Dunia bermula di Art Institute of Chicago. Persidangan ini diadakan sempena sambutan World’s Columbian Exposition untuk menyamput 400 tahun penemuan benua Amerika. 

Dalam ucaptamanya Vivekananda memberikan pengenalan ringkas sebagai wakil negara India dan agama Hindu. Selepas menyembah Dewi Saraswati secara mental, beliau memulakan ucapannya dengan "Para Saudara dan Saudari Amerika!" Tepukan gemuruh yang menyusuli kata-kata ini hanya berhenti selepas dua minit. Tujuh ribu orang yang berada di dewan itu terasa seolah-olah mereka telah terkena kejutan. Vivekananda meneruskan ucapannya. Beliau berkata. "Saya rasa bangga kerana berasal daripada agama yang telah mengajar dunia toleransi dan penerimaan sejagat. Kami bukan sahaja mempercayai toleransi sejagat tetapi kami juga menerima semua agama sebagai benar. Saya rasa bangga untuk berasal dari sebuah negara yang telah melindungi orang-orang yang teraniya dan pelarian-pelarian dari semua agama dan negara di dunia." 

Kemudian beliau mengungkap sebuah mantera yang telah melafazkannya sejak zaman kanak-kanaknya lagi:
“Seperti air sungai-sungai berlainan yang berasal dari tempat-tempat berlainan bersatu di laut, Wahai Tuhan, jalan-jalan berlainan yang manusia pilih disebabkan kecenderungan berlainan, walaupun ia kelihatan berbeza, bengkok atau lurus, semuanya sampai pada-Mu.” 

Kejayaan yang menyusuli ucapan ini adalah suatu peristiwa dalam sejarah. Keesokan paginya, semua surat khabar di Chicago memuji ucapan Swami Vivekananda dan menamakannya sebagai penceramah yang terbaik dan paling popular. Jalan-jalan Chicago memaparkan poster-posternya dengan perkataan “Rahib Vivekananda”. Orang ramai yang berlalu, berhenti untuk melihat posternya dan menunduk hormat. Beberapa surat khabar juga menerbitkan ceramah-ceramah beliau.

Ceramah-Ceramah di Seluruh Amerika Syarikat  dan England


Di San Francisco, California, 1900

Selepas Persidangan Agama-Agama Dunia, Swami Vivekananda melawat seluruh Amerika. Dalam lawatan-lawatan ini, beliau memberikan ceramah, perbincangan formal dan memberikan inspirasi dan harapan kepada orang-orang Amerika. Beliau juga mengambil peluang untuk mengenali budaya dan tamadun masyarakat Amerika Syarikat. 

Vivekananda menghabiskan selama dua tahun berceramah terutamanya, di Chicago, Detroit, Boston, dan New York. Beliau menubuhkan Vedanta Society New York pada tahun 1894. Menjelang musim bunga 1895, jadual beliau yang padat menjejaskan kesihatan beliau. Beliau menamatkan ceramah-ceramah umumnya, dan memulakan kelas-kelas persendirian. Kelas-kelas ini diadakan secara percuma untuk sesiapa yang ingin mempelajari Vedanta dan yoga. Pada permulaan Jun 1895, beliau memberikan ceramah persendirian kepada dua belas orang pengikutnya di Thousand Island Park selama dua bulan. 

Vivekananda melawat England dalam tahun 1895 dan 1896 dan memberikan beberapa ceramah. Dalam November 1895, beliau bertemu dengan Margaret Elizabeth Noble, seorang wanita Irish yang kelak menjadi terkenal sebagai Saudari Nivedita. Dalam lawatan kedua ke England, pada Mei 1896, Vivekananda bertemu dengan Max Müller, seorang  ahli Indologi terkenal dari Universiti Oxford. Muller merupakan orang pertama yang menulis biografi Sri Ramakrishna di Barat. Dari England, Swami Vivekananda melawat beberapa buah Negara Eropah lain. Di Jerman, beliau bertemu dengan  Paul Deussen, juga seorang ahli Indologi. Vivekananda juga menerima tawaran dari Universiti Harvard dan Universiti Columbia untuk jawatan pengajar. Beliau menolak kedua-dua tawaran itu kerana ia bertentangan dengan ikrar rahibnya.  

Ramai orang Amerika Syarikat dan Eropah menjadi pengikut dan kawan Swami Vivekananda. Dalam kalangan mereka ialah Josephine MacLeod, William James, Josiah Royce, Robert G. Ingersoll, Nikola Tesla, Lord Kelvin, Harriet Monroe, Ella Wheeler Wilcox, Sarah Bernhardt, Emma Calvé dan Hermann Ludwig Ferdinand von Helmholtz. Salah seorang pengikut, Christina Greenstidel dari Detroit, kelak menjadi Saudari Christine. Pengikut-pengikut ini membantu Vivekananda untuk menyebarkan falsafah Vedanta di Amerika Syarikat dan Eropah.  

Semasa berada di Barat, Vivekananda tidak pernah melupakan tanahairnya. Beliau terus berutus surat dengan para pengikut dan saudara-saudara segurunya di India. Surat-surat Vivekananda ketika ini menggambarkan kempennya untuk aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemanusiaan. Beliau mendesak orang-orang India untuk bangkit demi memajukan negara dan tamadun mereka.  

Vivekananda menulis kepada Swami Akhandananda, “Pergilah dari rumah ke rumah, berjumpa dengan orang-orang miskin dan kelas bawahan di pekan Khetri. Ajarlah ilmu agama kepada mereka. Berikan mereka secara lisan ilmu dalam bidang geografi dan sebagainya. Melainkan kamu boleh melakukan kebaikan kepada orang miskin, tidak ada gunanya jika kamu duduk selesa sambil menjamu selera, dan berkata, “Ramakrishna, Wahai Tuhan!”  

Pada tahun 1895, Vivekananda menubuhkan majalah Brahmavadin untuk mengajar Vedanta. Kemudian, pada tahun 1889, enam bab The Imitation of Christ yang diterjemahkan oleh Vivekananda diterbitkan dalam Brahmavadin. 

Pada Disember 1896, Vivekananda bersama-sama pengikutnya, Kaptain dan Puan Sevier dan JJ Goodwin bertolak ke India. Dalam perjalanan ini, beliau melawat Peranchis dan Itali.

Kembali ke India (1897-1899)

Pada 15 Januari 1897, Vivekananda mendarat di Colombo, Sri Lanka. Kedatangan beliau disambut dengan bangga oleh penduduk-penduduk Colombo. Beliau memberikan ucapannya yang bertajuk “India, the Holy Land”. Dari Colombo, Vivekananda meneruskan perjalanan ke Calcutta melalui Pamban, Rameswaram, Ramnad, Madurai, Kumbakonam dan Madras. Beliau mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan semula negaranya. Beliau memberikan ceramah-ceramah yang penuh bersemangat. Orang biasa dan juga raja-raja memberikannya sambutan yang penuh memberangsangkan. Semasa, beliau meneruskan perjalanan dengan keretapi, kerap kali orang ramai duduk di atas landasan keretapi untuk menghalang keretapi bergerak. Mereka tidak sanggup membenarkan Vivekananda hilang dari pandangan tanpa mendengar suaranya. 

Dari Calcutta, Vivekananda meneruskan perjalanan ke Almora. Semasa berada di Barat, Vivekananda bercakap tentang keagungan tamadun India. Di India pula, beliau sering bercakap tentang isu-isu sosial, pembangunan masyarakat, pembaharuan sistem pendidikan, perkembangan sains dan pengindustrian. Ceramah-ceramah ini yang menunjukkan ideologi rohani dan semangat kebangsaan Vivekananda telah diterbitkan dalam “Lectures from Colombo to Almora”.

Penubuhan Ramakrishna Mission
Biara Belur (Ibu Pejabat Ramakrishna Math 
& Ramakrishna Mission 
Pada 1 Mei 1897, Vivekananda menubuhkan Ramakrishna Mission di Calcutta. Ideal pertubuhan ini adalah berdasarkan kepada Karma Yoga dan ia bertujuan untuk melakukan kerja-kerja sosial. Badan pentadbiran Ramakrishna Mission ialah pemegang amanah Ramakrishna Math (yang menjalankan kerja-kerja keagamaan). Ibu pejabat kedua-dua Ramakrishna Mission dan Ramakrishna Math terletak di Biara Belur (Belur Math). Dua buah biara lain, iaitu Advaita Ashrama di Mayavati (di pergunungan
Himalaya) dan di Madras (di India Selatan) juga dimulakan ketika ini. Bagi tujuan penyebaran ajaran Ramakrishna, dua jurnal iaitu Prabuddha Bharata dalam bahasa Inggeris dan Udbodhan dalam bahasa Bengali turut dimulakan. Pada tahun yang sama, kerja-kerja bantuan kemarau dimulakan oleh Swami Akhandananda di daerah Murshidabad. 

Semasa dalam perjalanan pertamanya ke benua Amerika, Vivekananda telah mendorong Jamsetji Tata untuk memulakan sebuah institusi pendidikan dan penyelidikan. Tata menulis sepucuk surat kepada Vivekananda dan mengingatkannya tentang ini. Tata juga meminta Vivekananda untuk menjadi ketua Research Institute of Science yang telah dimulakannya. Vivekananda menolak tawaran ini kerana ianya akan bertentangan dengan kepentingan rohaninya. 
Kolkata, Jun 1899
Dari kiri ke kanan: Swami Trigunatita, Swami Shivananda, Swami Vivekananda, Swami Turiyananda, Swami Brahmananda, Swami Sadananda (duduk di bawah).

Selepas melawat Punjab, Lahore, Delhi dan Khetri, Vivekananda kembali ke Calcutta dalam Januari 1898. Beliau menyatukan kerja-kerja di biara dan latihan kepada pengikut-pengikutnya. Pada tahun yang sama, beliau mencipta "Khandana Bhava–Bandhana", sebuah puisi pujian Sri Ramakrishna yang masih dinyanyikan sewaktu sembahyang di semua kuil-kuil Sri Ramakrishna.

Lawatan Kedua ke Barat (1899)

Meskipun kesihatannya semakin merosot, Vivekananda belayar semula ke Barat dalam Jun 1899. Dalam pelayaran ini, beliau ditemani oleh Swami Turiyananda dan Saudari Nivedita. Selepas berehat di England, beliau meneruskan pelayaran ke Amerika Syarikat. Ketika ini, beliau menubuhkan Vedanta Society di San Francisco dan New York, dan Shanti Ashrama di California. Kemudian, beliau belayar ke Peranchis untuk menghadiri Kongres Agama-Agama pada tahun 1900. Ceramah beliau di Paris adalah mengenai pemujaan Sivalinga dan keaslian Bhagavad Gita. Seterusnya, Vivekananda melawat Brittany, Vienna, Istanbul, Athens dan Egypt. Ahli falsafah Peranchis, Jules Bois menjadi penaung utamanya kali ini sehingga beliau kembali ke Calcutta pada 9 Disember 1900.

Tahun-tahun Terakhir dan Kematian (1900-1902)

Selepas melawat Advaita Ashrama di Mayavati, Vivekananda kembali ke Biara Belur. Beliau mengawasi kerja-kerja Ramakrishna Mission, biara dan aktiviti-aktiviti di England dan Amerika Syarikat. Beliau juga menerima tetamu-tetamu dalam kalangan kerabat diraja dan ahli politik. Beliau juga melakukan satu lawatan ibadah ke Bodhgaya dan Varanasi pada tahun 1901. Kesihatannya semakin merosot akibat serangan lelah, penyakit kencing manis dan insomnia kronik. 
Kuil Vivekananda, Biara Belur

Pada 4 Julai 1902, Vivekananda bangun awal dan bermeditasi selama tiga jam di kuil di Biara Belur. Kemudian, beliau mengajar Shukla-Yajur-Veda, tatabahasa Sanskrit dan falsafah Yoga kepada pengikut-pengikutnya. Selepas itu, beliau berbincang dengan saudara-saudara segurunya mengenai hasratnya untuk menubuhkan sebuah kolej Veda di Ramakrishna Math. Pada pukul tujuh malam, beliau kembali ke biliknya dan bermeditasi. Pada pukul 9.10 malam, beliau mengalami Mahasamadhi. Keesokan paginya, jasadnya dibakar berdekatan tebing sungai Ganges di Belur. Beberapa tahun kemudian, sebuah kuil telah didirikan di tempat ini untuk menempatkan abu suci Vivekananda.