Tuesday 10 October 2017

Vivekananda Mengenai Bhagavad Gita

Ketika Gita mula-mula diajar, suatu kontroversi besar antara dua pasukan sedang berlaku. Suatu pihak beranggapan bahawa Yajna Vedik (upacara korban Vedik), upacara korban haiwan, dan Karma-Karma seperti itu sebagai keseluruhan agama. Pihak yang lain pula mengajar bahawa perbuatan membunuh kuda dan ternakan yang tidak terkira tidak boleh dipanggil sebagai agama. Kebanyakan orang daripada kumpulan kedua ini terdiri daripada golongan Sannyasin dan pengikut-pengikut mazhab Jnana. Mereka percaya bahawa satu-satunya jalan ke Moksha ialah dengan melepaskan segala tindakan dan dengan mendapatkan ilmu tentang Atman (Diri). Dengan mengajar doktrin hebatnya mengenai kerja tanpa motif, penulis Gita telah meredakan persengketaan antara dua mazhab yang bertentangan ini.  amai yang berpendapat bahawa Gita bukan ditulis pada zaman Mahabharata, tetapi telah diselit kemudiannya. Ini tidak betul. Ajaran khas Gita boleh didapati di setiap bahagian Mahabharata. Sekiranya Gita perlu ditolak sebagai bukan sebahagian daripada Mahabharata, maka, setiap bahagian lain yang mengandungi ajaran yang serupa perlu sama-sama ditolak.

Sekarang, apakah maksud bekerja tanpa motif? Kebelakangan ini, ramai orang memahaminya dalam konteks seseorang perlu bekerja sehingga keseronokan mahupun kesakitan tidak menyentuh mindanya. Sekiranya ini adalah maksudnya yang sebenar, maka, haiwan-haiwan mungkin boleh dibayar untuk bekerja tanpa motif. Ada haiwan yang membaham anaknya sendiri, dan ia tidak merasakan apa-apa mengenainya. Perompak-perompak memusnahkan orang lain dengan merompak milikan mereka. Sekiranya mereka tidak berasa sebarang suka dan duka, maka, mereka juga mungkin bekerja tanpa motif. Jika maksudnya adalah sebegini, maka, seorang yang berhati batu, penjenayah terkutuk, mungkin boleh dianggap sebagai bekerja tanpa motif. Dinding tidak mempunyai sebarang perasaan suka dan duka. Begitu juga dengan batu. Namun, benda-benda ini tidak boleh dikatakan sebagai bekerja tanpa motif.

Dalam konteks di atas, doktrin ini menjadi suatu alat merbahaya dalam tangan orang jahat. Mereka akan terus melakukan kerja-kerja jahat dan mengakui diri sebagai orang yang bekerja tanpa motif. Sekiranya ini adalah maksud bekerja tanpa motif, maka, suatu doktrin yang menakutkan akan disebarkan dengan ajaran Gita. Sesungguhnya ini bukan maksudnya. Tambahan lagi, jika kita lihat pada kehidupan orang-orang yang terlibat dengan pengajaran Gita, kita akan mendapati bahawa mereka menjalani kehidupan yang agak berlainan. Arjuna menumpaskan Bhisma dan Drona dalam pertempuran, namun, dia mengorbankan semua kepentingan diri, keinginan, dan dirinya berjuta-juta kali.

Gita mengajar Karma-Yoga. Kita perlu bekerja dengan Yoga (tumpuan). Dalam tumpuan pada kerja (Karma Yoga) begini, kesedaran tentang ego rendah tidak wujud. Apabila seseorang bekerja dengan Yoga, kesedaran bahawa aku sedang membuat ini dan itu tidak akan wujud. Masyarakat Barat tidak memahami ini. Mereka berkata bahawa tanpa kesedaran ego, jika ego telah hilang, bagaimanakah seseorang dapat bekerja? Tetapi apabila seseorang bekerja dengan tumpuan, hilang segala kesedaran akan diri sendiri, maka, kerja yang dilakukan akan pasti lebih baik. Setiap orang mungkin telah mengalami ini dalam hidup mereka sendiri. Kita melakukan banyak kerja-kerja dalam separa kesedaran, seperti penghadaman makanan, dan sebagainya. Banyak kerja-kerja dilakukan dalam keadaan sedar. Dan kerja-kerja lain dengan bertumpu dalam Samadhi, di mana tiada kesedaran ego kecil. Jika seorang pelukis, hilang kesedaran egonya, menjadi tertumpu sepenuhnya pada lukisannya, dia akan dapat menghasilkan suatu lukisan yang terbaik. Tukang masak yang menumpukan seluruh jiwanya pada masakan yang dilakukan, dia akan hilang kesedaran diri pada ketika itu. Namun, mereka hanya dapat melakukan dengan sempurna satu kerja ini yang telah menjadi kebiasaan. Gita mengajar bahawa semua kerja harus dilakukan sebegini.

Orang yang telah bersatu dengan Tuhan menerusi Yoga melakukan segala kerja-kerjanya dengan tertumpu dalam konsentrasi, dan tidak mengharap sebarang faedah peribadi. Kerja yang dilaksanakan sebegini hanya membawa kebaikan kepada dunia. Tidak ada sebarang kejahatan daripadanya. Orang-orang yang bekerja begini tidak melakukan apa-apa untuk dirinya sendiri.

Baik dan buruk bercampuran dalam hasil setiap kerja. Tidak ada sebarang kerja baik yang tidak mempunyai sedikit sentuhan kejahatan dalamnya. Bagai asap dalam api, sedikit kejahatan terkandung dalam kerja. Kita perlu melakukan kerja-kerja yang paling banyak membawa kebaikan dan hanya sedikit kejahatan. Arjuna membunuh Bhisma dan Drona. Jika ini tidak dilakukan, maka, Duryodhana tidak akan dapat ditewaskan, dan akibatnya, kuasa-kuasa jahat akan menumpaskan kuasa-kuasa baik. Akibatnya, suatu kecelakaan besar akan menimpa seluruh negara. Kerajaan akan dirampas oleh sekumpulan raja-raja bongkah yang jahat. Rakyat akan ditimpa penderitaan. Begitu juga, Sri Krishna membunuh Kamsa, Jarasandha, dan orang-orang zalim lain. Namun, tidak ada satupun tindakannya yang untuk kepentingan diri-Nya. Setiap tindakan-Nya adalah demi kebaikan orang lain.

Kita sedang membaca Gita di bawah cahaya lilin. Namun, banyak serangga-serangga yang mati hangus. Maka, boleh dilihat bahawa terdapat sedikit kejahatan pada kerja. Mereka yang bekerja tanpa sebarang kesedaran tentang ego rendah mereka tidak terjejas dengan kejahatan. Ini kerana mereka bekerja demi kebaikan dunia. Bekerja tanpa motif, bekerja tanpa ikatan, membawa kebahagiaan tertinggi dan kebebasan. Rahsia Karma-Yoga ini diajar oleh Bhagavan Sri Krishna dalam Gita.

(Complete Works of Swami Vivekananda, Vol. V. 246-49)

Wednesday 24 February 2016

Falsafah Pendidikan Vivekananda

Swami Vivekananda (1863-1902) adalah seorang ahli falsafah dan pemikir hebat kurun ke-19. Pada tahun 1897, beliau telah menubuhkan Ramakrishna Mission. Idea-idea Swami Vivekananda telah memberikan inspirasi kepada ramai pemikir Barat dan Timur pada zamannya dan masih menjadi inspirasi kini. Dalam satu kenyataan pada tahun 1993, Federico Mayor, Pengarah-Am UNESCO ketika itu, berkata:
“Saya memang terkejut melihat persamaan dalam piagam Ramakrishna Mission yang Vivekananda tubuhkan seawal 1897 dengan piagam UNESCO yang ditulis pada tahun 1945. Kedua-duanya menjadikan manusia di pusat usaha mereka untuk pembangunan. Kedua-duanya mengutamakan toleransi daripada matlamat untuk membina keamanan dan demokrasi. Kedua-duanya mengakui kepelbagaian budaya dan masyarakat manusia sebagai satu aspek penting dalam warisan bersama.”

Antara pemikiran Swami Vivekananda yang asli adalah mengenai isu-isu pendidikan. Menurut beliau, ilmu wujud di dalam setiap manusia. Ilmu bukan sesuatu yang diperolehi daripada sumber luar. Hasil penulisan, percakapan dan pemikiran Swami Vivekananda telah diterbitkan sebagai ‘Complete Works of Swami Vivekananda’.
Pendidikan adalah manifestasi kesempurnaan yang sedia ada di dalam manusia.
Ilmu wujud di dalam manusia. Ilmu tidak datang dari luar, semuanya berada dalam manusia. Apa yang kita sebut sebagai seorang manusia ‘mengetahui’, sebenarnya dalam bahasa psikologikal patut dipanggil sebagai dia ‘menemui’ atau ‘mendedahkan’. Apa yang seseorang ‘mempelajari’ ialah sebenarnya apa yang dia ‘temui’ dengan mengetepikan tirai yang menutupi jiwanya sendiri, yang merupakan sebuah khazanah ilmu yang tidak terbatas.
Kita kata Newton telah menemui gravitasi. Adakah ia sedang duduk di mana-mana sudut menunggunya? Ia berada di dalam fikiran Newton sendiri; masanya tiba dan dia menemuinya. … Buah epal yang jatuh telah memberikan Newton satu cadangan, dan dia mengkaji fikirannya sendiri. Dia menyusun kembali semua jalinan fikiran lama dalam fikirannya dan menemui satu jalinan baru di antaranya yang kita panggil sebagai rukun gravitasi. Ia bukan berada di dalam buah epal atau dalam sesuatu yang berada di perut bumi.
Oleh itu, semua ilmu, sekular mahupun rohani, berada dalam fikiran manusia. Dalam kebanyakan keadaan ia tidak ditemui, tetapi kekal terselindung, dan apabila lapisan yang menutupinya dialihkan secara perlahan-lahan, kita kata, ‘Kita sedang belajar.’
Pendidikan bukan jumlah informasi yang dimasukkan ke dalam otak kamu dan sepanjang hidup kamu, ia berlari kucar-kacir di situ tanpa penyerapan. Kita mesti mendapat asimilasi idea-idea yang membina-hidup, menjadikan manusia, membentuk akhlak. Jika kamu telah menyerap lima idea-idea dan menjadikannya hidup dan karakter kamu, maka kamu lebih berilmu berbanding orang yang telah menghafal semua buku-buku di perpustakaan.
Pemikiran yang negatif melemahkan manusia. Tidakkah kamu lihat apabila ibubapa sering mendesak anak-anak mereka untuk membaca dan menulis, memberitahu mereka bahawa mereka tidak akan belajar apa-apapun, dan memanggil mereka bodoh dan sebagainya, anak itu sememangnya akan menjadi begitu dalam kebanyakan keadaan? Jika kamu menuturkan kata-kata yang mesra kepada anak-anak dan memberi dorongan, mereka akan pasti maju kelak. …
Salah satu keburukan tamadun Barat ialah ia hanya memberi tumpuan pada pendidikan intelektual sahaja dan mengabaikan hati. Ia hanya menjadikan manusia sepuluh kali lebih mementingkan diri sendiri, dan ia akan membawa kemusnahannya.
Seluruh hidup ini hanya mempunyai satu matlamat sahaja iaitu pendidikan.
Kita memerlukan pendidikan yang membantu pembinaan akhlak, meningkatkan kekuatan fikiran, meluaskan intelek, dan membolehkan seorang berdikari.
Sistem pendidikan masa kini adalah semuanya salah. Fikiran disumbat dengan fakta-fakta sebelum ia belajar untuk berfikir. Kawalan fikiran mesti diajar dahulu. Jika saya perlu mendapatkan pendidikan sekali lagi, dan saya mempunyai sebarang pilihan, saya akan belajar untuk mengawal fikiran saya dahulu, dan kemudian mengumpulkan fakta-fakta jika saya memerlukannya. Orang mengambil masa yang lama untuk mempelajari sesuatu kerana mereka tidak dapat menumpukan fikiran sesuka hati.
Semua pengetahuan kita adalah berasaskan pengalaman.
Kita boleh bercakap dan berdebat sepanjang hidup kita, tetapi kita tidak akan memahami walaupun sepatah perkataan tentang kebenaran selagi kita mengalaminya sendiri. Kamu tidak boleh berharap untuk menjadikan seorang sebagai doktor bedah dengan memberikannya beberapa buah buku. Kamu tidak boleh memuaskan keinginan saya untuk melihat sebuah negara dengan menunjukkan saya sebuah peta; saya mesti mendapatkan pengalaman yang sebenar. Peta-peta hanya boleh membangkitkan rasa ingin tahu dalam diri kita untuk mendapatkan ilmu yang lebih sempurna. Ia tidak ada apa-apa kegunaan lain.
Beberapa syarat adalah penting bagi seorang pelajar, dan juga bagi pengajar. Syarat-syarat perlu dalam seorang pelajar adalah kesucian, kedahagaan sebenar untuk ilmu, dan kecekalan.
Kesucian dalam pemikiran, percakapan, dan perbuatan adalah amat penting.
Mengenai kedahagaan untuk ilmu, ia adalah satu rukun purba bahawa kita dapat apa yang kita mahu. Sesiapa pun tidak boleh mendapat apa-apa kecuali apa yang kita inginkan.
Hanya ada satu cara sahaja untuk mendapatkan ilmu iaitu dengan penumpuan.
Kita mempunyai satu cara sahaja untuk menimba ilmu. Daripada manusia yang paling lemah kepada petapa yang paling hebat, semua orang mesti menggunakan cara yang sama; dan cara ini adalah dipanggil sebagai penumpuan. Lebih banyak kuasa penumpuan ini, lebih banyak ilmu yang diperolehi.
Semua kejayaan dalam apa sahaja bidang adalah hasil daripada penumpuan ini. Pencapaian hebat dalam seni, muzik, dan sebagainya adalah hasil penumpuan.
Daya penumpuan adalah satu-satunya kunci kepada khazanah ilmu.
Dalam keadaan fizikal kita sekarang, wujud banyak gangguan, dan otak membazirkan segala kekuatannya terhadap ratusan perkara. Sebaik sahaja saya cuba untuk menenangkan pemikiran saya dan menumpukan fikiran pada sebarang objek ilmu, beribu-ribu perkara yang tidak diingini memecut ke dalam otak saya, ribuan pemikiran memecut ke dalam fikiran dan menganggunya.
Bagi saya intipati pendidikan adalah penumpuan fikiran, bukannya pengumpulan fakta-fakta. Jika saya terpaksa memulakan pendidikan saya sekali lagi dan mempunyai sebarang pendapat dalam hal itu, saya tidak akan belajar sebarang fakta. Saya akan meningkatkan daya penumpuan dan semangat tersisih, dan kemudian dengan peralatan yang sempurna ini saya dapat mengumpul fakta-fakta mengikut kehendak saya.
Penumpuan adalah intipati semua ilmu; tiada apa yang boleh dicapai tanpanya. Orang biasa membazirkan sembilan puluh peratus daya pemikirannya. Oleh itu, dia sentiasa melakukan kesilapan. Orang atau fikiran yang terlatih tidak akan melakukan suatu kesilapan.
Hanya pengecut-pengecut dan orang yang lemah sahaja yang melakukan dosa dan bercakap bohong. Orang yang berani adalah sentiasa bermoral. Cubalah untuk menjadi orang yang bermoral, cubalah untuk menjadi berani, cubalah untuk bersimpati.
Ini adalah satu fakta hebat: kekuatan adalah kehidupan, kelemahan adalah maut. Kekuatan adalah kegembiraan, kehidupan abadi, keabadian; kelemahan adalah ketegangan dan penderitaan berterusan: kelemahan adalah maut.
Penawar untuk kelemahan adalah bukannya memikirkan tentang kelemahan, tetapi sebaliknya memikirkan tentang kekuatan. Ajarlah manusia tentang kekuatan yang sedia ada dalam diri mereka.
Ini adalah satu-satunya definisi yang boleh diberikan tentang moraliti: Sesuatu yang mementingkan diri adalah tidak bermoral, dan sesuatu yang tidak mementingkan diri adalah bermoral.
Sifat tidak mementingkan diri adalah lebih berfaedah, cuma orang tidak ada kesabaran untuk mengamalkannya.
Kebenaran, kesucian, dan sifat tidak mementingkan diri – di mana sahaja semua ini wujud, di situ tiada sebarang kuasa di bawah atau di atas matahari yang boleh memusnahkan orang yang memiliknya. Dengan memilikinya, seorang individu boleh menghadapi seluruh alam yang menentangnya.
Ajarlah diri kamu, ajarlah setiap orang tentang sifat sebenarnya, serulah jiwa yang sedang tidur dan lihatlah bagaimana ia bangun. Kuasa akan datang, kemuliaan akan datang, kebaikan akan datang, kesucian akan datang, dan semua yang hebat akan datang apabila jiwa yang tidur ini dibangkitkan untuk bertindak dengan kesedaran diri.
Sejarah dunia ini adalah sejarah beberapa orang yang mempunyai kepercayaan kepada diri mereka sendiri. … Kamu boleh melakukan apa sahaja. Kamu gagal hanya apabila kamu tidak berusaha secukupnya untuk menyerlahkan kuasa yang tiada batasan. Maut datang sebaik sahaja seorang atau sebuah negara hilang kepercayaan.
(Diterjemahkan daripada ‘Complete Works of Swami Vivekananda’)



Thursday 30 April 2015

Ucapan-Ucapan Chicago


KATA-KATA ALUAN
11 September 1893
Para Saudara dan Saudari Amerika!

Hati saya penuh dengan keriangan yang tidak terkata-kata untuk membalas aluan mesra yang anda berikan kepada kami. Atas nama keturunan fakir yang tertua di dunia, saya berterima kasih kepada anda. Atas nama ibu segala agama, saya berterima kasih kepada anda. Atas nama jutaan orang Hindu daripada semua kumpulan dan mazhab, saya berterima kasih kepada anda.


Saya juga berterima kasih kepada beberapa orang penceramah di atas pentas ini. Mereka telah memberitahu anda bahawa para delegasi dari negara-negara Timur, yang telah datang dari jauh boleh menuntut penghormatan untuk membawa idea-idea toleransi ke negara-negara berlainan. Saya bangga untuk berasal daripada sebuah agama yang telah mengajar dunia mengenai toleransi dan penerimaan sejagat. Kami bukan sahaja percaya kepada toleransi sejagat, tetapi kami juga menerima semua agama sebagai benar.


Saya bangga untuk berasal dari sebuah negara yang telah memberi perlindungan kepada orang-orang yang telah tertindas dan pelarian-pelarian daripada semua agama dan semua negara di bumi ini.


Saya bangga untuk memberitahu anda bahawa kami telah menerima saki-baki keturunan Israel yang tulen yang telah datang ke India Selatan dan mendapatkan perlindungan pada tahun yang sama penzalim Rom merobohkan kuil suci mereka.


Saya bangga untuk berasal daripada agama yang telah memberi perlindungan dan masih lagi memelihara saki-baki penganut Zoroastrian yang hebat.


Saudara-saudari sekalian, saya akan mengungkap beberapa rangkap sebuah Mantera suci. Saya ingat saya telah melafazkannya sejak zaman kanak-kanak saya. Jutaan manusia masih mengulanginya setiap hari:


“Bagai sungai-sungai yang berpunca dari tempat-tempat berlainan akhirnya bersatu di laut, Wahai Tuhan, agama-agama berlainan yang manusia pilih melalui kecenderungan yang berlainan, meskipun kelihatan bengkang-bengkok atau lurus, semuanya menuju pada-Mu.”


Konvensyen ini merupakan salah satu perhimpunan hebat yang pernah diadakan. Ini suatu bukti, suatu perisytiharan kepada dunia tentang doktrin hebat dalam Bhagavad Gita: “Dengan apa pun cara, sesiapa cuba mencapai-Ku, Aku sampai kepadanya. Semua jalan yang manusia mencuba akhirnya menuju kepada-Ku.”


Sektarianisme, ketaksuban dan warisnya yang zalim, kefanatikan, telah lama menguasai dunia ini. Semua ini telah memenuhi dunia dengan kekejaman, acapkali membasahkan bumi dengan darah manusia, meruntuhkan tamadun, dan banyak negara yang hilang keamanan. Masyarakat dunia tentu lebih maju lagi jika syaitan-syaitan ngeri ini tidak wujud. Namun, maut telah menghampirinya. Saya berharap dengan bersungguh-sungguh bahawa loceng yang berbunyi pagi tadi sebagai tanda penghormatan konvensyen ini akan menjadi loceng maut untuk semua kefanatikan dan kezaliman dengan pedang mahupun mata pena, dan semua perasaan dengki antara orang-orang yang sedang mara ke matlamat yang sama.



MENGAPA KITA TIDAK SETUJU
15 September 1893

Saya akan memberitahu sebuah cerita pendek. Anda telah mendengar sebentar tadi seorang penceramah yang hebat. Beliau telah mengeluh bahawa sentiasa wujud banyak perselisihan dan berujar, ‘Mari kita berhenti mencaci antara satu sama lain!’. Saya berfikir, saya harus memberitahu anda sebuah cerita yang akan menjelaskan punca perselisihan ini.

Seekor katak tinggal dalam sebuah perigi. Ia telah lama menetap di situ. Katak kecil itu telah lahir dan membesar di perigi itu. Pada masa itu, memang tiada pakar teori evolusi untuk memberitahu kita kalau katak itu telah menjadi buta atau tidak. Bagi cerita ini, kita mesti andaikan bahawa katak itu boleh melihat. Setiap hari, katak membersihkan air perigi itu dengan memakan semua cacing-cacing dan basili yang tinggal di dalamnya. Tentu bagus kalau ahli bakteriologi moden mempunyai tenaga begitu. Demikian, katak meneruskan hidup. Ia menjadi sedikit licin dan gemuk. Baiklah, pada satu hari seekor katak lain terjatuh ke dalam perigi itu. Katak itu berasal dari laut.


“Kamu dari mana?”
“Saya berasal dari laut.”
“Laut! Berapa besar laut? Adakah laut sebesar perigi saya?” Katak perigi melompat dari satu sudut perigi ke sudut yang lain.
“Sahabatku,” kata katak laut, “macam mana kamu boleh membandingkan laut dengan perigi kecil kamu?”
Kemudian katak perigi melompat lagi dan bertanya, “Adakah laut kamu sebesar ini?”
“Apa yang kamu merepek. Membandingkan perigi kamu dengan laut!”
“Ah, tidak ada apa-apa yang lebih besar daripada perigi aku! Tiada apa yang lebih besar daripada ini. Katak ini penipu! Campaknya keluar!” katak perigi berkata.


Itulah masalahnya selama ini. Saya seorang Hindu. Saya sedang duduk dalam perigi kecil saya dan berfikir bahawa seluruh dunia ialah perigi kecil saya. Orang Kristian duduk dalam perigi kecilnya dan berfikir itulah dunia. Orang Muslim duduk dalam perigi kecilnya dan berfikir bahawa itulah dunia.


Saya harus mengucapkan terima kasih kepada anda, orang Amerika untuk percubaan hebat anda untuk memecahkan semua halangan dunia kecil kita. Semoga Tuhan merestui anda mencapai impian anda pada masa depan.  




AGAMA HINDU
19 September 1893

Hinduisme, Zoroastrinisme dan Judaisme merupakan tiga agama yang telah wujud sejak zaman pra-sejarah. Semua agama ini telah menerima goncangan yang kuat. Namun ia tetap bertahan selama ini. Ini membuktikan kekuatan dalaman agama-agama ini. Judaisme gagal menyerap agama Kristian, warisnya sendiri. Jadi ia telah dihalau dari tanahairnya akibat kebangkitan agama Kristian. Kini hanya segelintir orang Yahudi sahaja yang tinggal untuk menceritakan kehebatan agama mereka.


Sebaliknya, mazhab demi mazhab muncul di India. Semuanya seolah-olah mengancam agama Hindu sehingga ke akar umbinya. Selepas gempa bumi, pada mulanya laut surut sedikit. Kemudian, ombak yang seribu kali lebih besar muncul dan membanjiri segala-galanya. Begitu juga, mazhab-mazhab yang pada mulanya menggegarkan, akhirnya diserap dan bersepadu dengan agama induk yang luas. 


Hasil penemuan sains kini kelihatan seperti gema falsafah Vedanta. Daripada kerohanian tertinggi falsafah Vedanta ini sehingga ke idea-idea biasa penyembahan arca yang penuh dengan pelbagai mitologi, agnostisisme agama Buddha dan ateisme agama Jain, semuanya mempunyai tempat dalam agama Hindu. 


Jadi, di manakah semua idea-idea yang bertentangan ini bertemu? Apakah dasar umum di mana semua percanggahan besar ini bersatu? Saya akan cuba menjawab soalan ini.


Orang Hindu telah menerima agama mereka melalui wahyu Veda. Mereka menyatakan bahawa Veda tidak mempunyai permulaan dan penghabisan. Bahawa sebuah kitab tidak mempunyai permulaan dan penghabisan, mungkin kedengaran pelik. Namun, Veda bukan sebuah kitab. Veda ialah kumpulan khazanah hukum rohani yang ditemui oleh pelbagai orang pada masa berlainan. Hukum graviti telah wujud sebelum manusia menemuinya, dan ia akan terus wujud meskipun semua orang melupakannya. Hukum dunia kerohanian juga sama seperti ini. Perhubungan moral, etika dan rohani antara jiwa dengan jiwa, antara jiwa individu dan Jiwa Yang Agung (Tuhan) telah wujud sebelum penemuannya dan ia akan kekal walaupun kita melupakannya.

Hukum-hukum rohani ini telah ditemui oleh golongan Rishi. Kami menyanjung mereka sebagai insan-insan yang sempurna. Saya rasa berbangga untuk mengatakan bahawa beberapa orang Rishi yang hebat ialah kaum wanita. 


Kemungkinan ‘hukum’ tidak ada penghabisan. Namun, ia mesti mempunyai permulaan. Menurut Veda, ciptaan tidak mempunyai permulaan atau penghabisan. Sains dikatakan telah membuktikan bahawa jumlah tenaga kosmik telah kekal malar. Jadi, ketika ciptaan belum wujud, di manakah semua tenaga ini berada? Ada yang mengatakan bahawa ia berada dalam Tuhan sebagai tenaga yang berpotensi. Jika begitu, adakalanya Tuhan berpotensi dan adakalanya kinetik. Ini menjadikan Tuhan boleh berubah. Semua yang boleh berubah ialah benda majmuk. Semua benda majmuk mesti mengalami perubahan yakni pemusnahan. Maksudnya, Tuhan akan mati. Ini adalah karut. Maka, ciptaan telah wujud selama-lamanya.


Saya akan menerangkan ini dengan satu perumpamaan. Ciptaan dan pencipta ialah dua garisan selari tanpa titik permulaan dan penamatan. Tuhan ialah Pencipta yang sentiasa aktif. Dengan kuasa-Nya, sistem demi sistem timbul dari keadaan huru-hara, berfungsi untuk beberapa lama dan kemudian dimusnahkan. Inilah yang seorang budak Brahmin mengulangi setiap hari, “Bulan dan matahari dicipta oleh Tuhan seperti bulan dan matahari zaman lampau.” Ini sejajar dengan ilmu sains moden.


Saya berdiri di sini. Jika saya menutup mata saya dan cuba berfikir tentang diri saya sebagai ‘Aku’, ‘Aku’, ‘Aku’, apakah yang saya berfikir? Hanya fikiran mengenai badan. Jadi, adakah saya hanya gabungan bahan material? “Tidak!” kata Veda. Saya ialah roh yang menghuni badan. Saya bukan badan. Badan akan mati. Tetapi saya tidak akan mati. Saya berada dalam badan ini. Badan ini akan mati. Tetapi saya akan terus hidup. Saya mempunyai masa lampau. Jiwa tidak pernah dicipta. Ciptaan bermaksud gabungan, iaitu kelak ia akan musnah. Jika jiwa dicipta, maka ia akan mati.


Ada orang lahir dengan bahagia, menikmati kesihatan yang baik, mempunyai badan yang cantik, kekuatan minda, dan tanpa sebarang kekurangan. Ada yang lahir dengan penderitaan, dengan kecacatan tangan atau kaki. Ada yang bodoh dan hidup dengan sia-sia. Sekiranya semua orang telah dicipta, mengapakah Tuhan Maha Pengasih dan Maha Adil menjadikan manusia yang gembira dan segelintir lagi menderita? Mengapakah Tuhan berat sebelah? Tidak ada gunanya jika seseorang yang menderita dalam kehidupan ini akan bahagia dalam kelahiran akan datang. Mengapakah seseorang harus menderita dalam dunia Tuhan Maha Pengasih dan Maha Adil? 


Keduanya, idea tentang seorang Tuhan Pencipta tidak menjelaskan kejanggalan yang wujud. Ia hanya menunjukkan pemerintahan zalim seorang yang amat berkuasa. Jadi, sebelum kelahiran seseorang, mesti wujud sebab yang menentukan suka dukanya. Sebab itu ialah masa lampaunya sendiri.


Bukankah kecenderungan minda dan badan sesuatu yang diwarisi? Kehidupan mempunyai dua garisan selari. Satu garisan minda dan satu lagi jirim. Kita tidak perlu mengandaikan kewujudan roh sekiranya jirim dan pengubahannya dapat menjelaskan semua keadaan kita. Namun, evolusi fikiran daripada jirim tidak dapat dibuktikan. Sekiranya, secara falsafah hanya ada satu kewujudan, tentu wajar jika itu ialah roh. Kewujudan roh adalah lebih baik berbanding kewujudan materialistik. Namun, di sini kedua-duanya tidak perlu.

Kita tidak dapat menafikan bahawa badan mewarisi secara keturunan sesuatu kecenderungan. Namun, kecendurungan ini hanya membentuk jasad fizikal di mana sesuatu minda boleh bertindak dalam sesuatu keadaan tertentu. Terdapat kecenderungan lain khusus untuk roh yang disebabkan oleh tindakan lamanya. Menurut hukum kesamaan, roh dengan sesuatu kecenderungan tertentu akan lahir dalam badan yang sesuai untuk kecenderungan itu. Ini sejajar dengan sains kerana sains hendak menjelaskan segala-galanya dengan tabiat. Tabiat wujud disebabkan tindakan berulangan. Jadi, tindakan berulangan adalah penting untuk menjelaskan tabiat semulajadi roh yang baru lahir. Memandangkan tabiat tidak boleh wujud dalam kelahiran semasa, tentu ianya telah dibawa dari kehidupan lampau.


Ada sebuah idea lain. Andai kata semua ini benar, mengapakah saya tidak ada memori tentang kehidupan lepas saya? Ini dapat dijawab dengan mudah. Sekarang saya sedang bertutur dalam bahasa Inggeris. Ini bukan bahasa ibunda saya. Sebenarnya, ketika ini, saya langsung tidak ingat sebarang perkataan dalam bahasa ibunda saya. Namun, kalau saya cuba untuk mengingatinya, ia akan keluar dengan lancar. Ini menunjukkan bahawa kesedaran hanya satu permukaan atas lautan mental. Semua pengalaman kita berada di lapisan bawah lautan mental. Cubalah berusaha untuk membawa kesedaran itu ke atas, dan ingatan tentang kelahiran lepas kamu juga akan kembali. 


Ini ialah keterangan terus yang boleh dibuktikan. Bukti terbaik untuk sesuatu teori ialah pengesahannya. Inilah cabaran golongan Rishi untuk dunia. Kami telah menemui rahsia yang membolehkan lautan memori di terokai. Cubalah! Kamu juga akan mengingati seluruh masa lampau kamu.  


Seorang Hindu percaya bahawa dia ialah roh. Pedang tidak boleh memotongnya. Api tidak boleh membakarnya. Air tidak boleh membasahinya. Angin tidak boleh menggeringkannya. Orang Hindu percaya bahawa setiap roh ialah suatu bulatan tanpa lilitan dan pusatnya terletak dalam badan. Kematian ialah perubahan pusat ini dari badan ke badan yang lain. Roh tidak terikat dengan hukum jirim. Roh secara semulajadinya adalah bebas, tidak terikat, salih, suci, dan sempurna. Entah bagaimana, terikat dengan jirim, roh menganggap dirinya sebagai jirim. 


Soalan seterusnya ialah mengapakah roh yang bebas, sempurna dan suci dibelenggui oleh jirim? Macam mana roh yang sempurna boleh menganggap dirinya sebagai tidak sempurna? Kita diberitahu bahawa orang Hindu akan mengelak soalan itu dengan dalih soalan begitu tidak wujud. Beberapa orang pemikir cuba menjawab soalan itu dengan menunjukkan satu atau lebih makhluk yang hampir sempurna dan menggunakan nama-nama sains untuk mengisi tempat kosong. Namun, penamaan bukan penjelasan. Soalannya tetap tidak terjawab. Macam manakah sesuatu yang sempurna boleh menjadi separa sempurna? Macam mana sesuatu yang suci dan sempurna mengubah walaupun sekecil atom sifatnya?


Namun, orang Hindu jujur. Dia tidak mahu melepaskan diri dengan dalihan licik. Dia berani berdepan dengan soalan itu. Jawapannya ialah: “Saya tidak tahu. Saya tidak tahu macam mana roh yang sempurna menganggap dirinya sebagai tidak sempurna, sebagai dipengaruhi oleh jirim.” Fakta tetap kekal sebagai fakta. Dalam kesedaran semua orang, terdapat idea bahawa dia ialah badan. Inilah fakta. Orang Hindu tidak mencuba untuk menjelaskan mengapa orang berfikir bahawa dia ialah badan. Jawapan bahawa itu adalah kehendak Tuhan tidak cukup. Jawapannya cuma apa yang dikatakan oleh orang Hindu:  “Saya tidak tahu.”


Maka, roh
 manusia adalah abadi, hidup selama-lamanya, sempurna, dan tidak terhad. Kematian cuma satu pertukaran tempat, dari badan ke badan yang lain. Tindakan masa silam menentukan masa kini. Masa depan ditentukan oleh tindakan masa kini. Kelahiran demi kelahiran,  kematian demi kematian, roh akan maju ke tahap yang tinggi atau jatuh  ke tahap rendah. 

Satu lagi soalan bangkit di sini: Adakah manusia sebuah sampan kecil dalam ribut kencang? Sekejap diangkat ke atas ombak memuncak yang berbuih dan sekejap dicampak ke bawah ke dalam jurang yang ternganga. Demikian tindakan baik buruk menggulingnya ke depan dan ke belakang. Adakah manusia sebuah kapal yang ranap, yang lemah dan tidak boleh diselamatkan dalam arus penyebab-kesan yang sentiasa bergelora, amat deras dan tidak berubah? Adakah manusia seekor ulat di bawah roda penyebab yang berguling, menghancurkan segala-gala di jalannya, yang tidak berhenti walaupun untuk rintihan seorang janda mahupun tangisan seorang anak yatim?

Hati  kecut  memikirkan ini. Namun, inilah hukum Alam. Tidak ada harapan ke? Tidak ada jalan keluar ke? Tangisan ini cetus dari lubuk hati yang putus asa. Tangisan ini sampai ke takhta rahmat. Dari sana, suara yang penuh harapan dan menyenangkan hati turun ke bumi. Tersentuh dengan kata-kata itu, seorang Rishi bangkit menghadap dunia. Dengan suara yang lantang, beliau mengumumkan berita baik itu: “Dengarlah! Anak-anak Nikmat Abadi! Kalian yang berada di syurga juga! Aku telah menemui Sang Purba itu yang merentasi segala kegelapan dan delusi. Sekali lagi. kamu akan selamat daripada maut hanya dengan mengenali-Nya!”

“Anak-anak Nikmat Abadi” – nama yang indah lagi penuh harapan! Saudara-saudara, izinkan saya memanggil kalian dengan nama yang indah ini – waris Nikmat Abadi. Ya, orang Hindu enggan untuk memanggil kamu sebagai pendosa. Kamu ialah Anak-Anak Tuhan, pekongsi kebahagiaan abadi, makhluk yang salih dan sempurna. Kamu ialah dewa-dewa di dunia. Pendosa! Ianya satu dosa untuk memanggil manusia sebagai pendosa. Itu adalah satu fitnah ke atas manusia. Marilah, wahai singa, hapuskan delusi bahawa kamu seekor kambing. Kamu ialah jiwa yang abadi, jiwa yang bebas, dan kekal selama-lamanya. Kamu bukan jirim. Kamu bukan badan. Jirimlah hambamu. Kamu bukan hamba kepada jirim. 

Veda tidak mengajar gabungan menggerikan hukum-hukum yang kejam atau menunjukkan satu penjara penyebab-kesan yang berterusan. Ia mengajar bahawa pada kemuncak semua hukum-hukum ini, di dalam dan di luar semua partikel jirim dan tenaga, wujud Tuhan ‘yang mengarahkan angin bertiup, api membakar, awan mencurahkan hujan, dan maut berarak di bumi’.

Apakah sifat-Nya?

Tuhan suci, tiada rupa, Maha Berkuasa, Maha Penyayang dan merangkumi segala-galanya. ‘Kaulah bapa kami, Kaulah Ibu kami, Kaulah sahabat tersayang kami. Kaulah sumber segala kekuatan, berikan kami kekuatan. Kau menanggung beban alam semesta ini; bantulah aku untuk menanggung beban kehidupan ini.’ Demikian, golongan Rishi  berdoa. Bagaimana hendak memujanya? Melalui cinta. ‘Puja-Nya sebagai yang tersayang, lebih tersayang daripada segala-galanya dalam hidup ini mahupun hidup akan datang.’

Inilah doktrin cinta dalam Veda. Mari kita lihat bagaimana doktrin ini diperkembangkan dan diajar oleh Sri Krishna, yang dipercayai sebagai Jelmaan Tuhan di dunia oleh orang Hindu. Sri Krishna mengajar bahawa manusia mesti hidup di dunia seperti sehelai daun teratai.  Teratai tumbuh dalam air tetapi tidak pernah basah. Demikian, manusia harus hidup di dunia –menyimpan hatinya pada Tuhan dan bekerja dengan tangannya.  

Memang baik untuk menyayangi Tuhan dengan harapan mendapat pahala di dunia ini atau di akhirat. Namun, adalah lebih baik untuk menyayangi Tuhan demi cinta. Sebuah doa berbunyi: ‘Wahai Tuhan, aku tidak mahu kekayaan, anak-anak, atau pendidikan. Aku sudi lahir berkali-kali, jika itulah kehendak-Mu. Restui aku agar aku menyayangi-Mu tanpa mengharapkan balasan dan menyayangi-Mu demi cinta tanpa kepentingan diri.’

Yudhishthira, seorang pengikut Sri Krishna ialah maharaja India pada suatu ketika. Baginda telah dihalau dari kerajaannya oleh musuh-musuhnya. Baginda dan permaisuri telah berteduh di sebuah hutan di Himalaya. Di sana, permaisuri bertanya pada suatu hari sebab untuk penderitaan baginda sedangkan baginda seorang yang sangat mulia. Yudhishthira menjawab, "Wahai permaisuri, lihatlah betapa cantik dan menakjubkan pergunungan Himalaya! Beta menyayanginya. Pergunungan ini tidak memberikan beta apa-apa pun. Namun, sifat beta ialah untuk menyayangi sesuatu yang cantik dan hebat. Jadi, beta menyayanginya. Begitu juga beta menyayangi Tuhan, sumber segala kecantikan dan kemuliaan. Tuhanlah yang harus dikasihi. Beta menyayangi-Nya kerana itulah sifat beta. Beta tidak berdoa untuk apa-apa pun. Beta tidak meminta apa-apa pun. Biar Tuhan ikut kesukaan-Nya meletakkan beta di mana sahaja. Beta akan menyayangi-Nya demi cinta. Beta tidak boleh memperniagakan kasih."

Menurut Veda, jiwa bersifat ketuhanan tetapi terikat dengan jirim. Kesempurnaan akan tercapai apabila ikatan ini diputuskan. Jadi mereka memanggilnya sebagai ‘Mukti’ iaitu kebebasan. Kebebasan daripada ikatan ketidaksempurnaan. Kebebasan daripada maut dan penderitaan.

Hanya dengan rahmat Tuhan, ikatan ini boleh diputuskan. Orang yang suci mendapat rahmat ini. Maka, kesucian adalah syarat untuk rahmat-Nya. Bagaimana rahmat-Nya bertindak? Tuhan mendedahkan diri-Nya dalam hati yang suci. Ya, orang yang suci dan murni melihat Tuhan dalam hidup ini juga. Hanya selepas itu, segala selok-belok hati menjadi lurus. Selepas itu, segala kemusykilan berakhir. Selepas itu, dia bebas daripada hukum sebab-penyebab yang menggerikan. Inilah inti dan konsep paling utama dalam Hinduisme.

Orang Hindu tidak mahu hidup dengan kata-kata dan teori. Jika wujud kehidupan di luar kehidupan biasa dengan pancaindera, dia mahu melihatnya dengan matanya sendiri. Jika wujud roh yang bukan jirim dalam dirinya, jika wujud Tuhan Yang Maha Pengasih, dia mahu terus pergi kepada-Nya. Dia mesti melihat-Nya. Hanya itu yang dapat menghapus segala keraguannya. Jadi, bukti terbaik tentang roh dan Tuhan yang seorang Hindu yang bijaksana berikan ialah “Saya telah melihat roh. Saya telah melihat Tuhan.” Itulah satu-satunya syarat untuk kesempurnaan. Agama Hindu bukan suatu perjuangan atau percubaan untuk mempercayai sesuatu doktrin atau ajaran. Bukan kepercayaan, tetapi kesedaran. Menyedari dan menjadi apa yang disedari - itulah agama Hindu.

Maka, tujuan utama sistem Hindu melibatkan perjuangan berterusan untuk menjadi sempurna, suci, mencapai Tuhan, dan melihat Tuhan. Usaha untuk mencapai Tuhan, melihat Tuhan, menjadi sempurna seperti Bapa di syurga – itulah agama Hindu.

Apakah keadaan seseorang yang mencapai kesempurnaan? Hidupnya menjadi penuh bahagia. Dia menikmati kebahagiaan yang penuh dan tanpa henti. Dia telah mendapat satu-satunya keseronokan yang harus diperolehi iaitu Tuhan dan dia menikmati kebahagiaan itu dengan Tuhan.

Semua orang Hindu bersetuju setakat ini. Ini ialah agama yang umum bagi semua agama-agama India. Namun, kesempurnaan adalah mutlak. Tidak boleh ada dua atau tiga yang mutlak. Ia tidak boleh ada sebarang sifat. Ia tidak boleh menjadi seorang individu. Jadi, apabila jiwa menjadi sempurna dan mutlak, jiwa itu mesti bersatu dengan Brahman. Jiwa itu hanya akan menyedari Tuhan sebagai sesuatu yang sempurna, sebagai realiti, sifat dan kewujudannya sendiri sebagai kewujudan mutlak, ilmu mutlak dan kebahagiaan mutlak. Sering kali, kita membaca bahawa keadaan ini dikenali sebagai kehilangan keindividuan dan menjadi seperti kayu atau batu.

“Dia bergurau tentang parut yang tidak mengenal luka.”

Saya kata ia bukan begitu. Sekiranya kesedaran badan yang kerdil ini memberikan kegembiraan, tentu kegembiraan yang diperolehi dengan kesedaran dua badan adalah lebih banyak lagi. Kegembiraan bertambah dengan peningkatan kesedaran daripada penambahan jumlah badan. Akhirnya, kemuncak kegembiraan, iaitu matlamat hidup tercapai apabila kesedaran sejagat diperolehi.

Maka, keperibadian dalam penjara badan kerdil yang malang ini mesti ditinggalkan untuk mencapai keperibadian sejagat yang tidak terhad. Apabila saya bersatu dengan kehidupan, saya boleh bebas daripada kematian. Apabila saya bersatu dengan kegembiraan, saya boleh bebas daripada penderitaan. Apabila saya bersatu dengan ilmu, saya boleh bebas daripada kesalahan. Inilah kesimpulan yang saintifik.

Sains telah membuktikan bahawa keindividuan fizikal adalah satu khayalan. Badan saya cuma satu jasad kecil yang terus berubah dalam satu lautan jirim yang luas dan tidak terputus. Maka, Advaita (penyatuan) adalah kesimpulan muktamad mengenai Jiwa, bahagian lain saya.

Sains adalah penemuan penyatuan. Sebaik sahaja sains mencapai penyatuan yang sempurna, perkembangan lanjut sains akan terhenti. Ini kerana sains telah mencapai matlamatnya. Perkembangan ilmu kimia akan terhenti sebaik sahaja satu unsur yang mewujudkan semua unsur lain ditemui. Perkembangan ilmu fizik akan terhenti, yakni tujuannya tercapai sebaik sahaja menemui satu tenaga yang menyebabkan semua tenaga lain. Perkembangan sains keagamaan menjadi sempurna dengan penemuan satu Jiwa yang mengatasi maut dalam alam maut ini, Jiwa yang tidak berubah dalam dunia yang sentiasa berubah, Jiwa yang kelihatan seperti melahirkan semua jiwa lain disebabkan delusi. Demikian, melalui kepelbagaian dan keduaan, penyatuan mutlak dicapai. Agama tidak boleh berkembang selepas itu. Inilah matlamat semua bidang sains.

Semua bidang sains akan mencapai kesimpulan ini. Sains kini menggunakan perkataan ‘penjelmaan’ dan bukannya ‘ciptaan’ bagi kewujudan alam ini. Orang Hindu berasa gembia kerana kebenaran yang disimpan di dalam hatinya secara berkurun-kurun, kini akan diajar dalam bahasa yang lebih berkuasa dan disokong dengan bukti sains terkini.

Mari kita turun, daripada tahap falsafah ke tahap agama orang-orang biasa. Dari awal lagi, saya akan memberitahu kamu bahawa tidak ada politisme di India. Jika kamu berdiri dan mendengar, semua sifat-sifat Tuhan, termasuk sifat merangkumi segala-galanya, ditujukan kepada arca-arca Tuhan di setiap kuil. Itu bukan politisme. Itu bukan henotisme, iaitu menyembah seseorang sebagai yang berkuasa. ‘Apa sahaja namanya, mawar tetap harum.’ Nama tidak menjadi penjelasan.

Saya teringat satu peristiwa semasa saya masih kanak-kanak. Saya mendengar seorang mubaligh Kristian sedang berkhutbah dalam satu perhimpunan di India. Antara perkara menarik yang dia bercakap ialah bahawa sekiranya dia memukul patung berhala mereka dengan kayunya, apa yang berhala itu dapat lakukan? Seorang hadirin menjawab, "Apa yang Tuhan kamu akan lakukan jika saya mencaci-Nya?" "Kamu akan dihukum apabila kamu mati," jawab mubaligh itu. "Begitu juga berhala saya akan menghukum kamu apabila kamu mati," jawab orang Hindu itu.

Pokok dikenali dengan buahnya. Dalam kalangan ‘penyembah berhala’, saya pernah melihat manusia yang tiada tandingan di mana-mana pun dari segi moral, kerohanian dan kasih sayang. Jadi, saya berfikir, ‘Bolehkah dosa melahirkan kesucian?’

Kepercayaan karut ialah musuh utama manusia. Namun, kefanatikan adalah lebih teruk lagi. Kenapa seorang Kristian pergi ke gereja? Kenapa salib menjadi suci? Kenapa mendongkak ke langit semasa berdoa? Kenapa terdapat banyak berhala-berhala di Gereja Katolik? Kenapa orang Protestan membayangkan banyak imej-imej semasa berdoa? Saudara-saudara, sama seperti kita tidak boleh hidup tanpa bernafas, kita tidak boleh berfikir tanpa membayangkan sesuatu imej. Mengikut hukum penyekutuan (Law of Association), objek luaran mengingatkan idea dalaman, dan idea dalaman mengingatkan objek luaran. Inilah sebabnya orang Hindu menggunakan simbol luaran ketika bersembahyang. Dia akan berkata bahawa simbol itu membantu menumpukan fikirannya kepada Tuhan. Dia tahu bahawa benda itu bukan Tuhan atau yang Maha Wujud. Apa yang dunia ini boleh faham tentang ‘Maha Wujud’? Ini cuma satu perkataan; satu simbol. Adakah Tuhan mempunyai kawasan? Apabila kita bercakap tentang ‘Maha Wujud, kita berfikir tentang langit yang luas atas angkasa lepas. Itu sahaja.

Seperti yang kita lihat, mengikut hukum pembentukan fikiran kita, kita terpaksa menghubungkan langit biru atau lautan dengan idea infiniti. Begitu juga kita menghubungkan idea kesalihan dengan imej sebuah gereja, sebuah masjid, atau sebuah salib. Orang Hindu menghubungkan idea kesalihan, kesucian, kebenaran, Maha Wujud, dan idea-idea begini dengan imej-imej dan rupa-rupa berlainan. Namun, dengan satu perbezaan ini. Ada orang menghabiskan seluruh hidupnya menghadiri sebuah gereja dan langsung tidak meningkatkan perkembangan rohaninya. Agama mereka cuma setakat pengesahan intelek mengenai doktrin tertentu dan melakukan kebajikan kepada manusia lain. Sebaliknya, kesedaran Tuhan merupakan tunjang agama Hindu. Manusia harus mencapai ketuhanan, dengan menyedari Tuhan. Berhala, kuil, gereja, atau kitab suci hanya satu sokongan atau bantuan bagi manusia yang masih dalam zaman kanak-kanak rohaninya. Namun, dia mesti terus meningkat ke atas.

Dia tidak boleh berhenti di mana-mana. Menurut kitab suci, upacara pemujaan merupakan tahap yang paling rendah. Doa secara mental merupakan tahap yang sedikit tinggi. Tahap yang tertinggi ialah kesedaran Tuhan. Orang yang sujud di hadapan berhala juga, dengan keteguhan yang sama, berkata, ‘Matahari tidak boleh menjelaskan-Nya. Bulan tidak boleh menjelaskan-Nya. Bintang-bintang mahupun kilat juga tidak boleh menjelaskan-Nya. Malah api juga tidak boleh menjelaskan-Nya. Semua ini bersinar kerana-Nya.’

Orang Hindu tidak menghina berhala sesiapa pun atau memanggil sebarang penyembahan sebagai dosa. Dia menerimanya sebagai satu tahap penting kehidupan. ‘Kanak-kanak ialah bapa orang’. Adakah wajar seorang tua memanggil zaman kanak-kanak atau remaja sebagai satu dosa?   

Sekiranya seseorang menyedari sifat ketuhanannya dengan bantuan berhala, adakah wajar untuk memanggilnya sebagai dosa? Walaupun selepas dia merentasi tahap itu, tidak wajar dia mengatakan penyembahan berhala sebagai dosa. Bagi orang Hindu, manusia bukan maju dari kesilapan ke kebenaran, tetapi dari kebenaran ke kebenaran, dari kebenaran yang rendah ke kebenaran yang tertinggi. Bagi orang Hindu, semua agama daripada pemujaan roh kepada penyembahan Yang Maha Mutlak, semuanya adalah pelbagai percubaan yang dilakukan oleh jiwa untuk memahami dan menyedari Tuhan. Setiap agama ditentukan oleh tempat lahir dan keadaan persekitarannya. Setiap agama menandakan satu tahap perkembangan. Jiwa, bagai seekor anak helang, semakin tinggi ia berterbang, ia makin bertambah kuat, dan akhirnya ia mencapai Sang Matahari. 

Penyatuan dalam kepelbagaian adalah hukum alam. Orang Hindu telah menyedarinya. Setiap agama menetapkan sesuatu dogma dan memaksa masyarakat untuk mengikutinya. Semua agama lain memberikan hanya sehelai baju yang sama yang mesti dipakai oleh Jack, John dan Henry. Jika baju itu tidak muat untuk John atau Henry, mereka terpaksa hidup berbogel. 

Orang Hindu telah menemui bahawa yang mutlak hanya boleh disedari, difikir, atau dinyatakan, menerusi yang relatif. Berhala, salib, dan anak bulan hanyalah pelbagai simbol, bagai pancang untuk menggantung idea-idea rohani. Ini bukan bermaksud bahawa semua orang memerlukan bantuannya. Namun, orang yang tidak memerlukannya, tidak berhak untuk berkata bahawa ianya salah. Agama Hindu tidak mewajibkannya.

Saya mesti memberitahu kamu sesuatu. Penyembahan berhala di India bukan sesuatu yang menakutkan. Itu bukan sebuah kilang pelacuran. Sebaliknya, penyembahan berhala hanya satu percubaan intelek yang sederhana untuk memahami kebenaran rohani yang tertinggi. Orang Hindu mempunyai kesalahan dan kadang-kadang ada pengecualiannya. Namun, perhatikan ini - mereka sentiasa menghukum diri sendiri. Mereka tidak memotong leher jiran mereka. Seorang Hindu fanatik mungkin membakar dirinya sendiri, tetapi dia tidak akan menyalakan api untuk membakar orang lain. Agama Kristian tidak boleh dipersalahkan untuk pembakaran bomoh-bomoh perempuan. Begitu juga, ini bukan kesalahan agama Hindu.

Jadi, bagi orang Hindu, semua agama hanya satu perjalanan pelbagai manusia, menerusi pelbagai keadaan dan suasana, ke satu destinasi yang sama. Matlamat setiap agama ialah menyerlahkan Tuhan dalam diri manusia. Tuhan yang sama memberikan inspirasi kepada semua orang. Jadi, kenapa wujud begitu banyak percanggahan? Menurut orang Hindu, ini hanya permukaan luar. Percanggahan wujud disebabkan penyesuaian kebenaran yang sama menurut pelbagai keadaan yang berlainan sifat.

Cahaya yang sama yang bersinar menerusi cermin-cermin yang berlainan warna. Semua variasi kecil ini adalah perlu untuk tujuan menyesuaikan diri. Namun kebenaran yang sama berada dalam pusat segala-galanya. Tuhan telah bersabda kepada orang Hindu dalam penjelmaan-Nya sebagai Krishna: “Bagai benang dalam seutas rantai mutiara, Aku berada dalam setiap agama. Apabila kamu melihat kesalihan yang luar biasa dan kuasa yang luar biasa berbangkit dan menyucikan manusia, ketahui bahawa Aku berada di sana.” Apakah akibatnya? Saya mencabar dunia untuk mencari dalam seluruh sistem falsafah Sanskrit, sebarang kenyataan bahawa hanya orang Hindu yang akan diselamatkan dan bukannya orang lain. Vyasa berkata, ‘Kami melihat orang yang sempurna, termasuk di luar kasta dan kelompok kami.’

Seperkara lagi. Bagaimana orang Hindu yang seluruh fikirannya berpusatkan Tuhan, dapat mempercayai agama Buddha yang agnostik (tidak peduli sama ada Tuhan wujud atau tidak), atau agama Jain yang ateis (percaya bahawa Tuhan tidak wujud)?

Orang Buddha dan Jain tidak bergantung kepada Tuhan. Namun, seluruh matlamat agama mereka tertumpu kepada kebenaran hakiki semua agama, yakni, menyerlahkan Tuhan dalam manusia. Mereka tidak pernah melihat Bapa, tetapi mereka pernah melihat Anak. Orang yang pernah melihat Anak, juga telah melihat Bapa.

Saudara-saudara, inilah ringkasan pendek idea-idea agama Hindu. Orang Hindu mungkin telah gagal untuk melaksanakan semua rancangannya. Namun, jika sebuah agama yang universal perlu wujud, ia mesti agama yang tidak ada lokasi tempat dan masa. Ia mesti sesuatu yang luas seperti Tuhan dalam ajarannya. Bagai matahari, ia mesti bersinar sama ke atas pengikut-pengikut Krishna dan Jesus, orang baik dan orang jahat. Ia bukan agama Brahmin, agama Buddha, Kristian atau Islam, tetapi kesemuanya sekali dan masih mempunyai ruang yang luas untuk kemajuan. Ia juga mesti terbuka untuk memeluk dengan tangan-tangannya yang tidak terkira, dan memberikan tempat untuk setiap manusia, daripada orang gasar yang masih seperti binatang, kepada insan yang mulia, yang dikagumi masyarakat untuk hati dan akalnya yang terpuji dan meragui bahawa beliau juga seorang manusia. Ia akan menjadi sebuah agama yang tidak mengenal penindasan atau penyeksaan. Ia akan mengakui ketuhanan dalam setiap orang, lelaki mahu pun perempuan. Seluruh skop dan tenaganya akan tertumpu dalam membantu manusia sejagat menyedari sifat ketuhanannya yang sebenar.

Berikan sebuah agama seperti ini dan semua negara-negara akan mengikuti kamu. Majlis Asoka merupakan majlis agama Buddha. Walaupun tujuan Akbar lebih jelas, namun ia lebih kepada sebuah mesyuarat tidak rasmi. Amerika telah ditetapkan untuk mengumumkan kepada seluruh dunia bahawa Tuhan berada dalam semua agama.

Biar Brahman orang Hindu, Ahura-Mazda orang Zoroastrian, Buddha orang Buddhis, Jehovah orang Yahudi, Bapa di syurga orang Kristian, memberikan kekuatan kepada kalian untuk melaksanakan idea-idea mulia kalian! Bintang muncul di Timur; bergerak ke Barat, kadang-kadang ia kelihatan malap, kadang-kadang terang. Akhirnya ia mengelilingi seluruh dunia. Ia telah muncul sekali lagi di langit Timur, di sempadan Sanpo,[1] beribu-ribu kali lebih terang daripada dahulu.

Hidup Columbia, ibu pertiwi kemerdekaan! Kau tidak pernah mencelup tangan dalam darah jiranmu. Kau tidak mengetahui bahawa jalan singkat untuk kekayaan adalah dengan merompak jiranmu. Kini kau telah ditempatkan di hadapan pelopor tamadun untuk membawa bendera keharmonian.    


AGAMA BUKAN KEPERLUAAN SEGERA INDIA
20 September 1893
Orang Kristian mesti terbuka untuk kritikan yang baik. Saya percaya kamu tidak akan kisah jika saya memberikan sedikit kritikan. Kalian orang Kristian, suka untuk menghantar paderi-paderi untuk menyelamatkan jiwa orang India – kenapa anda tidak cuba untuk menyelamatkan badan mereka daripada kebuluran? Di India, ketika musim kemarau, ribuan orang mati kebuluran. Namun, kamu orang Kristian, tidak melakukan apa-apa pun. Kamu membina gereja-gereja di seluruh India. Namun, agama bukan keperluaan segera orang Timur. Mereka mempunyai agama yang mencukupi. Jutaan penduduk India yang menderita, melolong sehingga kering tekak untuk makanan sahaja. Mereka merayu untuk makanan, tetapi kita menghulurkan batu. Ia satu penghinaan untuk memberikan agama kepada orang yang kebuluran. Ia satu penghinaan untuk mengajarnya metafizik kepada orang yang kebuluran. Di India, seorang sami yang mengajar agama untuk wang akan hilang kastanya dan masyarakat meludah ke atas mukanya. Saya datang ke sini untuk mencari bantuan untuk penduduk miskin negara saya. Saya sedar betapa sukarnya untuk mendapatkan bantuan untuk orang-orang Hindu daripada orang Kristian di negara Kristian.


BUDDHISME : PEMENUHAN AGAMA HINDU
26 September 1893

Anda sudah mendengar bahawa saya bukan orang beragama Buddha. Namun, saya seorang beragama Buddha. China, Japan, Ceylon (Sri Lanka) mengikuti ajaran Maha Guru itu. India pula menyembahnya sebagai seorang Jelmaan Tuhan di bumi.  Sebentar tadi, anda telah diberitahu bahawa saya akan mengkritik agama Buddha. Namun, saya mahu anda memahaminya begini. Saya tidak boleh mengkritik seorang yang saya sembah sebagai Tuhan. Pandangan kami mengenai Buddha ialah pengikut-pengikutnya tidak memahaminya dengan betul. Perhubungan antara agama Hindu (maksud saya agama Hindu ialah agama Veda) dan apa yang kini dikenali sebagai agama Buddha adalah hampir sama dengan perhubungan antara agama Yahudi dan agama Kristian. Isa ialah seorang Yahudi. Shakya Muni (Buddha) pula ialah seorang Hindu. Orang Yahudi tidak menerima Isa dan menyalibnya. Orang Hindu pula telah menerima Shakya Muni sebagai Jelmaan Tuhan dan memujanya. Namun, perbezaan sebenar antara agama Buddha moden dan apa yang kita harus faham sebagai ajaran Buddha adalah ini: Shakya Muni tidak mengajar sesuatu yang baru. Seperti Isa, Shakya Muni juga datang untuk memenuhi dan bukannya untuk memusnahkan. Dalam keadaan Isa, orang lama iaitu orang Yahudi yang tidak memahaminya. Sebaliknya, dalam keadaan Shakya Muni pula, pengikut-pengikutnya sendiri tidak menyedari maksud ajarannya. Seperti orang Yahudi tidak memahami pemenuhan Perjanjian Lama, orang-orang Buddha tidak memahami pemenuhan kebenaran agama Hindu. Sekali lagi, saya mengulangi bahawa Shakya Muni tidak datang untuk memusnahkan. Baginda merupakan penyempurnaan, kesimpulan logikal, pembangunan agama Hindu yang logikal.

Agama Hindu dibahagikan kepada dua bahagian: adat istiadat dan kerohanian. Para rahib khususnya mempelajari bahagian kerohanian.

Tidak ada kasta bagi golongan rahib. Di India, orang daripada kasta yang tertinggi dan yang terendah boleh menjadi rahib dan kedua-duanya menjadi setaraf. Tidak ada kasta dalam agama. Kasta ialah satu institusi sosial sahaja. Shakya Muni sendiri ialah seorang rahib. Kemuliaan baginda ialah dengan hati yang terbuka, baginda membawa kebenaran dalam Veda yang tersembunyi dan mendedahkannya kepada seluruh dunia. Baginda merupakan orang pertama di dunia ini yang menjalankan penyebarkan agama – malah, beliau merupakan orang pertama yang memikirkan idea penukaran agama.

Kemuliaan Shakya Muni ialah rasa simpatinya untuk semua orang, terutamanya orang jahil dan miskin. Beberapa orang pengikutnya ialah orang Brahmin. Ketika Buddha mengajar, bahasa Sanskrit tidak lagi menjadi bahasa pertuturan di India. Sanskrit hanya wujud dalam buku-buku ketika itu. Beberapa orang pengikut Brahmin baginda ingin untuk menterjemahkan ajaran baginda ke dalam bahasa Sanskrit. Namun, dengan jelas, baginda memberitahu mereka bahawa, ‘Saya datang untuk orang miskin, untuk rakyat biasa. Biar saya bercakap dalam bahasa rakyat.’ Jadi, sehingga kini, kebanyakan ajaran Buddha berada dalam bahasa vernakular di India pada zaman itu.

Apa sahaja pendirian falsafah, apa sahaja pendirian metafizik, selagi kematian wujud di dunia ini, selagi wujud kelemahan dalam hati manusia, selagi wujud tangisan dari hati manusia disebabkan kelemahannya, selagi itu kepercayaan kepada Tuhan akan wujud.

Dari segi falsafah, pengikut-pengikut Buddha memukul batu abadi Veda. Mereka tidak dapat menghancurkannya. Selain itu, mereka mencampak keluar Tuhan yang abadi, yang amat dikasihi oleh semua orang, lelaki mahu pun perempuan dari negara India. Akibatnya, secara semulajadi agama Buddha telah lupus di India. Pada hari ini, di India, tanah lahir agama Buddha, tidak ada seorang pun yang memanggil dirinya sebagai penganut agama Buddha.

Namun, pada masa yang sama, Brahminisme telah kehilangan sesuatu iaitu semangat pembaharuan, rasa simpati dan kebajikan yang mengagumkan untuk semua orang, perubahan masyarakat yang serata yang dibawa oleh agama Buddha. Semua kualiti ini telah menjadikan masyarakat India yang hebat pada zaman itu. Seorang sejarahwan Greek yang menulis tentang India pada zaman itu berkata bahawa tiada Hindu yang bercakap bohong dan tiada wanita Hindu yang tidak suci.

Agama Hindu tidak boleh hidup tanpa agama Buddha. Agama Buddha tidak boleh hidup tanpa agama Hindu. Jadi, tengoklah apa yang berlaku akibat perpecahan! Agama Buddha tidak boleh hidup tanpa akal dan falsafah agama Brahmin. Agama Brahmin tidak boleh hidup tanpa hati Buddha. Perpecahan antara agama Buddha dan agama Hindu adalah punca kejatuhan India. Itulah sebabnya India dihuni oleh tiga ratus juta orang pengemis. Itulah sebabnya India menjadi hamba kepada penaklukan asing selama seribu tahun. Jadi, mari kita menyatukan kepintaran akal orang Brahmin dengan hati, kemuliaan jiwa, dan kuasa kemanusiaan hebat Buddha. 


UCAPAN PADA SESI AKHIR
27 September 1893

Persidangan Agama-Agama Dunia telah berakhir dengan baik. Tuhan telah membantu mereka yang berusaha untuk mengatur persidangan ini, dan memberikan kejayaan untuk usaha mereka yang tidak mementingkan diri.

Saya berterima kasih kepada budiman-budiman yang berbesar hati dan mencintai kebenaran, yang mula-mula mengilhamkan impian indah ini dan akhirnya, mencapainya. Saya berterima kasih kepada limpahan semangat liberal yang membanjiri pentas ini. Saya berterima kasih kepada para hadirin bijaksana untuk kasih sayang yang berterusan kepada saya dan untuk menghargai setiap idea yang cuba untuk meratakan pergeseran antara agama-agama. Beberapa kali, beberapa nota sumbang telah kedengaran dalam muzik ini. Saya khususnya, berterima kasih kepada mereka. Dengan memainkan bunyi berlainan, mereka telah menjadikan musik harmoni ini lebih enak.

Banyak yang telah diperkatakan tentang dasar sama keharmonian agama. Sekarang saya tidak akan mengutarakan teori saya sendiri. Namun, jika sesiapa berharap bahawa keharmonian ini akan dicapai dengan kemenangan satu agama dan kemusnahan semua agama lain, saya berkata kepadanya, “Saudara, harapan kamu adalah sia-sia.” Adakah saya berharap seorang Kristian akan menjadi Hindu? Tidak sama sekali. Adakah saya berharap orang Hindu atau orang Buddha menjadi Kristian? Tidak sama sekali.

Benih dibenam di bumi. Tanah, udara dan air diletakkan di sekelilingnya. Adakah benih itu akan menjadi tanah, udara atau air? Tidak. Ia menjadi tumbuhan. Ia bertumbuh mengikut hukum pertumbuhannya sendiri. Ia menyerap udara, tanah dan air, dan menukarkannya kepada bahan tumbuhan dan membesar menjadi sebatang tumbuhan. 

Begitu juga dengan agama. Orang Kristian tidak perlu menjadi orang Hindu atau orang Buddha. Orang Hindu dan Buddha tidak perlu menjadi orang Kristian. Namun, mereka mesti menyerap semangat agama lain, menjaga keperibadian masing-masing dan membesar mengikut hukum pertumbuhan masing-masing.

Sekiranya Persidangan Agama-Agama telah menunjukkan sesuatu kepada dunia, ia adalah ini: ia telah membuktikan bahawa kesalihan, kesucian dan kebajikan bukan milikan ekskulisif mana-mana gereja di dunia, bahawa setiap agama telah melahirkan lelaki dan perempuan yang amat mulia. Atas bahan bukti ini, jika sesiapa bermimpi untuk kewujudan agamanya sendiri dan kemusnahan agama lain, saya bersimpati dengannya dari lubuk hati saya. Saya menunjukkan kepadanya bahawa tidak lama lagi, di atas bendera setiap agama, perkataan ini akan ditulis, walaupun ditentang: ‘Bantulah dan Jangan Bergaduh’, ‘Bersatulah dan Jangan Memusnahkan, ‘Keharmonian dan Keamanan, dan bukannya Perselisihan’.  




[1] Sungai Brahmaputra

Wednesday 22 April 2015

Sumbangan & Falsafah Vivekananda

Sumbangan Vivekananda
Apakah sumbangan Swami Vivekananda kepada agama Hindu? Vivekananda sendiri berkata: “Tugas memberikan idea-idea agama Hindu dalam bahasa Inggeris, memberi makna kepada falsafah-falsafah hambar, mitologi yang rumit dan psikologi yang pelik untuk menjadikan suatu agama yang senang, mudah, popular, disamping memenuhi keperluan intelek yang tinggi adalah satu tugas yang hanya boleh difahami oleh mereka yang telah mencubanya. Advaita yang abstrak mesti dihidupkan dan dijadikan menarik dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai murni harus dihasilkan daripada mitologi yang rumit. Psikologi yang saintifik dan praktikal mesti lahir daripada amalan Yoga yang membingungkan. Semua ini mesti menjadi sesuatu yang kanak-kanak juga boleh memahami. Itu ialah matlamat hidup saya.”

Sumbangan khas Vivekananda boleh dirumuskan begini:
  • Membebaskan Vedanta daripada monopoli golongan pendeta Hindu dan mengajarnya sebagai satu agama universal yang boleh diterima dan diamalkan oleh insan sejagat.
Walaupun secara umumnya, Vivekananda mengikuti falsafah Advaita Sankara dalam ajaran Hinduisme dan Vedantanya, beliau juga telah memberikan beberapa sumbangan asli. Ini boleh dirumuskan seperti berikut:
  • Veda bukan kitab-kitab tertentu sahaja. Seperti mana sains merangkumi semua hukum sains alam fizikal, Veda merangkumi semua hukum abadi alam kerohanian.
  • Tiga sistem Vedanta iaitu Advaita, Visistadvaita dan Dvaita adalah tidak bercanggah antara satu sama lain. Sistem-sistem ini menunjukkan Kebenaran (atauTuhan) dari perspektif berlainan.
  • Memberikan interpretasi yang jelas tentang konsep Maya dalam Vedanta. Menurut Vivekananda, Maya ialah satu kenyataan fakta tentang alam ini dan bukannya satu teori semata-mata.
  • Semua konsep manusia mengenai Tuhan adalah antropomorfik dan ia tidak boleh dielakkan.
Demikian, Vivekananda menjadikan Vedanta satu agama yang praktikal dengan menekankan aspek Sadhana (aktiviti-aktiviti kerohanian) seperti sifat tersisih dan kedahagaan untuk Tuhan.


Falsafah Vivekananda
Vivekananda telah memberikan falsafah hidupnya dengan amat jelas dalam dua keadaan. Pada permulaan karya hebatnya, Raja Yoga, beliau telah merumuskan falsafah yang dinamakan sebagai Kalimat Vedanta Baharu:
  • Setiap jiwa berpotensi ketuhanan.
  • Matlamat hidup adalah untuk mendedahkan ketuhanan ini dengan menguasai Alam, luaran dan dalaman.
  • Capailah matlamat ini sama ada dengan bekerja, bersembahyang atau menguasai psikik, atau dengan falsafah. Lakukan satu atau beberapa atau semua perkara ini dan dapatkan kebebasan! Inilah agama sebenarnya. Semua doktrin, kepercayaan, upacara, kitab-kitab, tempat ibadat, atau simbol keagamaan hanyalah perkara sekunder.
  • Satu lagi kalimat falsafah Vivekananda ialah motto Ramakrishna Sangha iaitu: ‘Atmano mokshartham jagaddhitaya ca’ – ‘Seseorang harus berusaha untuk kebebasan diri sendiri dan juga untuk kebaikan dunia’. Seluruh falsafah Vivekananda adalah berasaskan kepada dua perkara di atas.

Pujian-Pujian
Ramai tokoh dunia telah memuji pencapaian dan personaliti Swami Vivekananda. Antaranya ialah:

C.Rajagopalachari (A.D.1878-1972) seorang negarawan India berkata:

"Swami Vivekananda menyelamatkan Hinduisme dan India. Kalau bukan kerananya, kita tentu telah kehilangan agama kita dan kita tidak akan mencapai kemerdekaan. Maka, kita terhutang budi kepada Swami Vivekananda untuk segala-galanya."

A.L.Basham, seorang ahli sejarah British mengatakan begini:

Seratus tahun sudah berlalu selepas Narendranath Datta yang menjadi Swami Vivekananda lahir. Namun, ianya masih sukar untuk menilaikan kepentingannya pada skala sejarah dunia. Kepentingan Vivekananda adalah lebih besar daripada apa yang sejarahwan Barat atau kebanyakan sejarahwan India dapat mencadangkan pada masa kematiannya. Masa dan banyak peristiwa-peristiwa hebat dan tidak disangka yang telah berlaku sejak kematiannya menunjukkan bahawa dalam kurun-kurun akan datang, beliau akan dikenang sebagai salah seorang pengasas utama dunia moden. Terutamanya bagi Asia, beliau akan dikenang sebagai salah seorang tokoh penting dalam sejarah agama India. Kepentingannya boleh dibandingkan dengan mahaguru hebat seperti Sankara dan Ramanuja dan tentu lebih penting berbanding ahli-ahli agama tempatan seperti Kabir, Caitanya, dan ramai Nayanmar dan Alvar dari India Selatan."