Swami Vivekananda (1863-1902)
adalah seorang ahli falsafah dan pemikir hebat kurun ke-19. Pada tahun 1897,
beliau telah menubuhkan Ramakrishna Mission. Idea-idea Swami Vivekananda telah
memberikan inspirasi kepada ramai pemikir Barat dan Timur pada zamannya dan
masih menjadi inspirasi kini. Dalam satu kenyataan pada tahun 1993, Federico
Mayor, Pengarah-Am UNESCO ketika itu, berkata:
“Saya memang terkejut melihat
persamaan dalam piagam Ramakrishna Mission yang Vivekananda tubuhkan seawal
1897 dengan piagam UNESCO yang ditulis pada tahun 1945. Kedua-duanya menjadikan
manusia di pusat usaha mereka untuk pembangunan. Kedua-duanya mengutamakan
toleransi daripada matlamat untuk membina keamanan dan demokrasi. Kedua-duanya
mengakui kepelbagaian budaya dan masyarakat manusia sebagai satu aspek penting
dalam warisan bersama.”
Antara pemikiran Swami Vivekananda yang asli adalah mengenai isu-isu pendidikan. Menurut beliau, ilmu wujud di dalam setiap manusia. Ilmu bukan sesuatu yang diperolehi daripada sumber luar. Hasil penulisan, percakapan dan pemikiran Swami Vivekananda telah diterbitkan sebagai ‘Complete Works of Swami Vivekananda’.
Antara pemikiran Swami Vivekananda yang asli adalah mengenai isu-isu pendidikan. Menurut beliau, ilmu wujud di dalam setiap manusia. Ilmu bukan sesuatu yang diperolehi daripada sumber luar. Hasil penulisan, percakapan dan pemikiran Swami Vivekananda telah diterbitkan sebagai ‘Complete Works of Swami Vivekananda’.
Pendidikan adalah manifestasi
kesempurnaan yang sedia ada di dalam manusia.
Ilmu wujud di dalam manusia. Ilmu
tidak datang dari luar, semuanya berada dalam manusia. Apa yang kita sebut
sebagai seorang manusia ‘mengetahui’, sebenarnya dalam bahasa psikologikal
patut dipanggil sebagai dia ‘menemui’ atau ‘mendedahkan’. Apa yang seseorang
‘mempelajari’ ialah sebenarnya apa yang dia ‘temui’ dengan mengetepikan tirai
yang menutupi jiwanya sendiri, yang merupakan sebuah khazanah ilmu yang tidak
terbatas.
Kita kata Newton telah menemui
gravitasi. Adakah ia sedang duduk di mana-mana sudut menunggunya? Ia berada di
dalam fikiran Newton sendiri; masanya tiba dan dia menemuinya. … Buah epal yang
jatuh telah memberikan Newton satu cadangan, dan dia mengkaji fikirannya
sendiri. Dia menyusun kembali semua jalinan fikiran lama dalam fikirannya dan
menemui satu jalinan baru di antaranya yang kita panggil sebagai rukun
gravitasi. Ia bukan berada di dalam buah epal atau dalam sesuatu yang berada di
perut bumi.
Oleh itu, semua ilmu, sekular
mahupun rohani, berada dalam fikiran manusia. Dalam kebanyakan keadaan ia tidak
ditemui, tetapi kekal terselindung, dan apabila lapisan yang menutupinya
dialihkan secara perlahan-lahan, kita kata, ‘Kita sedang belajar.’
Pendidikan bukan jumlah informasi
yang dimasukkan ke dalam otak kamu dan sepanjang hidup kamu, ia berlari
kucar-kacir di situ tanpa penyerapan. Kita mesti mendapat asimilasi idea-idea
yang membina-hidup, menjadikan manusia, membentuk akhlak. Jika kamu telah
menyerap lima idea-idea dan menjadikannya hidup dan karakter kamu, maka kamu
lebih berilmu berbanding orang yang telah menghafal semua buku-buku di perpustakaan.
Pemikiran yang negatif melemahkan
manusia. Tidakkah kamu lihat apabila ibubapa sering mendesak anak-anak mereka
untuk membaca dan menulis, memberitahu mereka bahawa mereka tidak akan belajar
apa-apapun, dan memanggil mereka bodoh dan sebagainya, anak itu sememangnya
akan menjadi begitu dalam kebanyakan keadaan? Jika kamu menuturkan kata-kata
yang mesra kepada anak-anak dan memberi dorongan, mereka akan pasti maju kelak.
…
Salah satu keburukan tamadun Barat
ialah ia hanya memberi tumpuan pada pendidikan intelektual sahaja dan
mengabaikan hati. Ia hanya menjadikan manusia sepuluh kali lebih mementingkan
diri sendiri, dan ia akan membawa kemusnahannya.
Seluruh hidup ini hanya mempunyai
satu matlamat sahaja iaitu pendidikan.
Kita memerlukan pendidikan yang membantu
pembinaan akhlak, meningkatkan kekuatan fikiran, meluaskan intelek, dan
membolehkan seorang berdikari.
Sistem pendidikan masa kini adalah
semuanya salah. Fikiran disumbat dengan fakta-fakta sebelum ia belajar untuk
berfikir. Kawalan fikiran mesti diajar dahulu. Jika saya perlu mendapatkan
pendidikan sekali lagi, dan saya mempunyai sebarang pilihan, saya akan belajar
untuk mengawal fikiran saya dahulu, dan kemudian mengumpulkan fakta-fakta jika
saya memerlukannya. Orang mengambil masa yang lama untuk mempelajari sesuatu
kerana mereka tidak dapat menumpukan fikiran sesuka hati.
Semua pengetahuan kita adalah
berasaskan pengalaman.
Kita boleh bercakap dan berdebat
sepanjang hidup kita, tetapi kita tidak akan memahami walaupun sepatah
perkataan tentang kebenaran selagi kita mengalaminya sendiri. Kamu tidak boleh
berharap untuk menjadikan seorang sebagai doktor bedah dengan memberikannya
beberapa buah buku. Kamu tidak boleh memuaskan keinginan saya untuk melihat
sebuah negara dengan menunjukkan saya sebuah peta; saya mesti mendapatkan
pengalaman yang sebenar. Peta-peta hanya boleh membangkitkan rasa ingin tahu
dalam diri kita untuk mendapatkan ilmu yang lebih sempurna. Ia tidak ada
apa-apa kegunaan lain.
Beberapa syarat adalah penting
bagi seorang pelajar, dan juga bagi pengajar. Syarat-syarat perlu dalam seorang
pelajar adalah kesucian, kedahagaan sebenar untuk ilmu, dan kecekalan.
Kesucian dalam pemikiran,
percakapan, dan perbuatan adalah amat penting.
Mengenai kedahagaan untuk ilmu, ia
adalah satu rukun purba bahawa kita dapat apa yang kita mahu. Sesiapa pun tidak
boleh mendapat apa-apa kecuali apa yang kita inginkan.
Hanya ada satu cara sahaja untuk
mendapatkan ilmu iaitu dengan penumpuan.
Kita mempunyai satu cara sahaja
untuk menimba ilmu. Daripada manusia yang paling lemah kepada petapa yang
paling hebat, semua orang mesti menggunakan cara yang sama; dan cara ini adalah
dipanggil sebagai penumpuan. Lebih banyak kuasa penumpuan ini, lebih banyak
ilmu yang diperolehi.
Semua kejayaan dalam apa sahaja
bidang adalah hasil daripada penumpuan ini. Pencapaian hebat dalam seni, muzik,
dan sebagainya adalah hasil penumpuan.
Daya penumpuan adalah satu-satunya
kunci kepada khazanah ilmu.
Dalam keadaan fizikal kita
sekarang, wujud banyak gangguan, dan otak membazirkan segala kekuatannya
terhadap ratusan perkara. Sebaik sahaja saya cuba untuk menenangkan pemikiran
saya dan menumpukan fikiran pada sebarang objek ilmu, beribu-ribu perkara yang
tidak diingini memecut ke dalam otak saya, ribuan pemikiran memecut ke dalam fikiran
dan menganggunya.
Bagi saya intipati pendidikan
adalah penumpuan fikiran, bukannya pengumpulan fakta-fakta. Jika saya terpaksa
memulakan pendidikan saya sekali lagi dan mempunyai sebarang pendapat dalam hal
itu, saya tidak akan belajar sebarang fakta. Saya akan meningkatkan daya
penumpuan dan semangat tersisih, dan kemudian dengan peralatan yang sempurna
ini saya dapat mengumpul fakta-fakta mengikut kehendak saya.
Penumpuan adalah intipati semua
ilmu; tiada apa yang boleh dicapai tanpanya. Orang biasa membazirkan sembilan
puluh peratus daya pemikirannya. Oleh itu, dia sentiasa melakukan kesilapan.
Orang atau fikiran yang terlatih tidak akan melakukan suatu kesilapan.
Hanya pengecut-pengecut dan orang
yang lemah sahaja yang melakukan dosa dan bercakap bohong. Orang yang berani
adalah sentiasa bermoral. Cubalah untuk menjadi orang yang bermoral, cubalah
untuk menjadi berani, cubalah untuk bersimpati.
Ini adalah satu fakta hebat:
kekuatan adalah kehidupan, kelemahan adalah maut. Kekuatan adalah kegembiraan,
kehidupan abadi, keabadian; kelemahan adalah ketegangan dan penderitaan
berterusan: kelemahan adalah maut.
Penawar untuk kelemahan adalah
bukannya memikirkan tentang kelemahan, tetapi sebaliknya memikirkan tentang
kekuatan. Ajarlah manusia tentang kekuatan yang sedia ada dalam diri mereka.
Ini adalah satu-satunya definisi
yang boleh diberikan tentang moraliti: Sesuatu yang mementingkan diri adalah
tidak bermoral, dan sesuatu yang tidak mementingkan diri adalah bermoral.
Sifat tidak mementingkan diri
adalah lebih berfaedah, cuma orang tidak ada kesabaran untuk mengamalkannya.
Kebenaran, kesucian, dan sifat
tidak mementingkan diri – di mana sahaja semua ini wujud, di situ tiada
sebarang kuasa di bawah atau di atas matahari yang boleh memusnahkan orang yang
memiliknya. Dengan memilikinya, seorang individu boleh menghadapi seluruh alam
yang menentangnya.
Ajarlah diri kamu, ajarlah setiap
orang tentang sifat sebenarnya, serulah jiwa yang sedang tidur dan lihatlah
bagaimana ia bangun. Kuasa akan datang, kemuliaan akan datang, kebaikan akan
datang, kesucian akan datang, dan semua yang hebat akan datang apabila jiwa
yang tidur ini dibangkitkan untuk bertindak dengan kesedaran diri.
Sejarah dunia ini adalah sejarah
beberapa orang yang mempunyai kepercayaan kepada diri mereka sendiri. … Kamu
boleh melakukan apa sahaja. Kamu gagal hanya apabila kamu tidak berusaha
secukupnya untuk menyerlahkan kuasa yang tiada batasan. Maut datang sebaik
sahaja seorang atau sebuah negara hilang kepercayaan.
(Diterjemahkan daripada ‘Complete
Works of Swami Vivekananda’)
No comments:
Post a Comment