Wednesday 24 February 2016

Falsafah Pendidikan Vivekananda

Swami Vivekananda (1863-1902) adalah seorang ahli falsafah dan pemikir hebat kurun ke-19. Pada tahun 1897, beliau telah menubuhkan Ramakrishna Mission. Idea-idea Swami Vivekananda telah memberikan inspirasi kepada ramai pemikir Barat dan Timur pada zamannya dan masih menjadi inspirasi kini. Dalam satu kenyataan pada tahun 1993, Federico Mayor, Pengarah-Am UNESCO ketika itu, berkata:
“Saya memang terkejut melihat persamaan dalam piagam Ramakrishna Mission yang Vivekananda tubuhkan seawal 1897 dengan piagam UNESCO yang ditulis pada tahun 1945. Kedua-duanya menjadikan manusia di pusat usaha mereka untuk pembangunan. Kedua-duanya mengutamakan toleransi daripada matlamat untuk membina keamanan dan demokrasi. Kedua-duanya mengakui kepelbagaian budaya dan masyarakat manusia sebagai satu aspek penting dalam warisan bersama.”

Antara pemikiran Swami Vivekananda yang asli adalah mengenai isu-isu pendidikan. Menurut beliau, ilmu wujud di dalam setiap manusia. Ilmu bukan sesuatu yang diperolehi daripada sumber luar. Hasil penulisan, percakapan dan pemikiran Swami Vivekananda telah diterbitkan sebagai ‘Complete Works of Swami Vivekananda’.
Pendidikan adalah manifestasi kesempurnaan yang sedia ada di dalam manusia.
Ilmu wujud di dalam manusia. Ilmu tidak datang dari luar, semuanya berada dalam manusia. Apa yang kita sebut sebagai seorang manusia ‘mengetahui’, sebenarnya dalam bahasa psikologikal patut dipanggil sebagai dia ‘menemui’ atau ‘mendedahkan’. Apa yang seseorang ‘mempelajari’ ialah sebenarnya apa yang dia ‘temui’ dengan mengetepikan tirai yang menutupi jiwanya sendiri, yang merupakan sebuah khazanah ilmu yang tidak terbatas.
Kita kata Newton telah menemui gravitasi. Adakah ia sedang duduk di mana-mana sudut menunggunya? Ia berada di dalam fikiran Newton sendiri; masanya tiba dan dia menemuinya. … Buah epal yang jatuh telah memberikan Newton satu cadangan, dan dia mengkaji fikirannya sendiri. Dia menyusun kembali semua jalinan fikiran lama dalam fikirannya dan menemui satu jalinan baru di antaranya yang kita panggil sebagai rukun gravitasi. Ia bukan berada di dalam buah epal atau dalam sesuatu yang berada di perut bumi.
Oleh itu, semua ilmu, sekular mahupun rohani, berada dalam fikiran manusia. Dalam kebanyakan keadaan ia tidak ditemui, tetapi kekal terselindung, dan apabila lapisan yang menutupinya dialihkan secara perlahan-lahan, kita kata, ‘Kita sedang belajar.’
Pendidikan bukan jumlah informasi yang dimasukkan ke dalam otak kamu dan sepanjang hidup kamu, ia berlari kucar-kacir di situ tanpa penyerapan. Kita mesti mendapat asimilasi idea-idea yang membina-hidup, menjadikan manusia, membentuk akhlak. Jika kamu telah menyerap lima idea-idea dan menjadikannya hidup dan karakter kamu, maka kamu lebih berilmu berbanding orang yang telah menghafal semua buku-buku di perpustakaan.
Pemikiran yang negatif melemahkan manusia. Tidakkah kamu lihat apabila ibubapa sering mendesak anak-anak mereka untuk membaca dan menulis, memberitahu mereka bahawa mereka tidak akan belajar apa-apapun, dan memanggil mereka bodoh dan sebagainya, anak itu sememangnya akan menjadi begitu dalam kebanyakan keadaan? Jika kamu menuturkan kata-kata yang mesra kepada anak-anak dan memberi dorongan, mereka akan pasti maju kelak. …
Salah satu keburukan tamadun Barat ialah ia hanya memberi tumpuan pada pendidikan intelektual sahaja dan mengabaikan hati. Ia hanya menjadikan manusia sepuluh kali lebih mementingkan diri sendiri, dan ia akan membawa kemusnahannya.
Seluruh hidup ini hanya mempunyai satu matlamat sahaja iaitu pendidikan.
Kita memerlukan pendidikan yang membantu pembinaan akhlak, meningkatkan kekuatan fikiran, meluaskan intelek, dan membolehkan seorang berdikari.
Sistem pendidikan masa kini adalah semuanya salah. Fikiran disumbat dengan fakta-fakta sebelum ia belajar untuk berfikir. Kawalan fikiran mesti diajar dahulu. Jika saya perlu mendapatkan pendidikan sekali lagi, dan saya mempunyai sebarang pilihan, saya akan belajar untuk mengawal fikiran saya dahulu, dan kemudian mengumpulkan fakta-fakta jika saya memerlukannya. Orang mengambil masa yang lama untuk mempelajari sesuatu kerana mereka tidak dapat menumpukan fikiran sesuka hati.
Semua pengetahuan kita adalah berasaskan pengalaman.
Kita boleh bercakap dan berdebat sepanjang hidup kita, tetapi kita tidak akan memahami walaupun sepatah perkataan tentang kebenaran selagi kita mengalaminya sendiri. Kamu tidak boleh berharap untuk menjadikan seorang sebagai doktor bedah dengan memberikannya beberapa buah buku. Kamu tidak boleh memuaskan keinginan saya untuk melihat sebuah negara dengan menunjukkan saya sebuah peta; saya mesti mendapatkan pengalaman yang sebenar. Peta-peta hanya boleh membangkitkan rasa ingin tahu dalam diri kita untuk mendapatkan ilmu yang lebih sempurna. Ia tidak ada apa-apa kegunaan lain.
Beberapa syarat adalah penting bagi seorang pelajar, dan juga bagi pengajar. Syarat-syarat perlu dalam seorang pelajar adalah kesucian, kedahagaan sebenar untuk ilmu, dan kecekalan.
Kesucian dalam pemikiran, percakapan, dan perbuatan adalah amat penting.
Mengenai kedahagaan untuk ilmu, ia adalah satu rukun purba bahawa kita dapat apa yang kita mahu. Sesiapa pun tidak boleh mendapat apa-apa kecuali apa yang kita inginkan.
Hanya ada satu cara sahaja untuk mendapatkan ilmu iaitu dengan penumpuan.
Kita mempunyai satu cara sahaja untuk menimba ilmu. Daripada manusia yang paling lemah kepada petapa yang paling hebat, semua orang mesti menggunakan cara yang sama; dan cara ini adalah dipanggil sebagai penumpuan. Lebih banyak kuasa penumpuan ini, lebih banyak ilmu yang diperolehi.
Semua kejayaan dalam apa sahaja bidang adalah hasil daripada penumpuan ini. Pencapaian hebat dalam seni, muzik, dan sebagainya adalah hasil penumpuan.
Daya penumpuan adalah satu-satunya kunci kepada khazanah ilmu.
Dalam keadaan fizikal kita sekarang, wujud banyak gangguan, dan otak membazirkan segala kekuatannya terhadap ratusan perkara. Sebaik sahaja saya cuba untuk menenangkan pemikiran saya dan menumpukan fikiran pada sebarang objek ilmu, beribu-ribu perkara yang tidak diingini memecut ke dalam otak saya, ribuan pemikiran memecut ke dalam fikiran dan menganggunya.
Bagi saya intipati pendidikan adalah penumpuan fikiran, bukannya pengumpulan fakta-fakta. Jika saya terpaksa memulakan pendidikan saya sekali lagi dan mempunyai sebarang pendapat dalam hal itu, saya tidak akan belajar sebarang fakta. Saya akan meningkatkan daya penumpuan dan semangat tersisih, dan kemudian dengan peralatan yang sempurna ini saya dapat mengumpul fakta-fakta mengikut kehendak saya.
Penumpuan adalah intipati semua ilmu; tiada apa yang boleh dicapai tanpanya. Orang biasa membazirkan sembilan puluh peratus daya pemikirannya. Oleh itu, dia sentiasa melakukan kesilapan. Orang atau fikiran yang terlatih tidak akan melakukan suatu kesilapan.
Hanya pengecut-pengecut dan orang yang lemah sahaja yang melakukan dosa dan bercakap bohong. Orang yang berani adalah sentiasa bermoral. Cubalah untuk menjadi orang yang bermoral, cubalah untuk menjadi berani, cubalah untuk bersimpati.
Ini adalah satu fakta hebat: kekuatan adalah kehidupan, kelemahan adalah maut. Kekuatan adalah kegembiraan, kehidupan abadi, keabadian; kelemahan adalah ketegangan dan penderitaan berterusan: kelemahan adalah maut.
Penawar untuk kelemahan adalah bukannya memikirkan tentang kelemahan, tetapi sebaliknya memikirkan tentang kekuatan. Ajarlah manusia tentang kekuatan yang sedia ada dalam diri mereka.
Ini adalah satu-satunya definisi yang boleh diberikan tentang moraliti: Sesuatu yang mementingkan diri adalah tidak bermoral, dan sesuatu yang tidak mementingkan diri adalah bermoral.
Sifat tidak mementingkan diri adalah lebih berfaedah, cuma orang tidak ada kesabaran untuk mengamalkannya.
Kebenaran, kesucian, dan sifat tidak mementingkan diri – di mana sahaja semua ini wujud, di situ tiada sebarang kuasa di bawah atau di atas matahari yang boleh memusnahkan orang yang memiliknya. Dengan memilikinya, seorang individu boleh menghadapi seluruh alam yang menentangnya.
Ajarlah diri kamu, ajarlah setiap orang tentang sifat sebenarnya, serulah jiwa yang sedang tidur dan lihatlah bagaimana ia bangun. Kuasa akan datang, kemuliaan akan datang, kebaikan akan datang, kesucian akan datang, dan semua yang hebat akan datang apabila jiwa yang tidur ini dibangkitkan untuk bertindak dengan kesedaran diri.
Sejarah dunia ini adalah sejarah beberapa orang yang mempunyai kepercayaan kepada diri mereka sendiri. … Kamu boleh melakukan apa sahaja. Kamu gagal hanya apabila kamu tidak berusaha secukupnya untuk menyerlahkan kuasa yang tiada batasan. Maut datang sebaik sahaja seorang atau sebuah negara hilang kepercayaan.
(Diterjemahkan daripada ‘Complete Works of Swami Vivekananda’)