Tuesday 10 October 2017

Vivekananda Mengenai Bhagavad Gita

Ketika Gita mula-mula diajar, suatu kontroversi besar antara dua pasukan sedang berlaku. Suatu pihak beranggapan bahawa Yajna Vedik (upacara korban Vedik), upacara korban haiwan, dan Karma-Karma seperti itu sebagai keseluruhan agama. Pihak yang lain pula mengajar bahawa perbuatan membunuh kuda dan ternakan yang tidak terkira tidak boleh dipanggil sebagai agama. Kebanyakan orang daripada kumpulan kedua ini terdiri daripada golongan Sannyasin dan pengikut-pengikut mazhab Jnana. Mereka percaya bahawa satu-satunya jalan ke Moksha ialah dengan melepaskan segala tindakan dan dengan mendapatkan ilmu tentang Atman (Diri). Dengan mengajar doktrin hebatnya mengenai kerja tanpa motif, penulis Gita telah meredakan persengketaan antara dua mazhab yang bertentangan ini.  amai yang berpendapat bahawa Gita bukan ditulis pada zaman Mahabharata, tetapi telah diselit kemudiannya. Ini tidak betul. Ajaran khas Gita boleh didapati di setiap bahagian Mahabharata. Sekiranya Gita perlu ditolak sebagai bukan sebahagian daripada Mahabharata, maka, setiap bahagian lain yang mengandungi ajaran yang serupa perlu sama-sama ditolak.

Sekarang, apakah maksud bekerja tanpa motif? Kebelakangan ini, ramai orang memahaminya dalam konteks seseorang perlu bekerja sehingga keseronokan mahupun kesakitan tidak menyentuh mindanya. Sekiranya ini adalah maksudnya yang sebenar, maka, haiwan-haiwan mungkin boleh dibayar untuk bekerja tanpa motif. Ada haiwan yang membaham anaknya sendiri, dan ia tidak merasakan apa-apa mengenainya. Perompak-perompak memusnahkan orang lain dengan merompak milikan mereka. Sekiranya mereka tidak berasa sebarang suka dan duka, maka, mereka juga mungkin bekerja tanpa motif. Jika maksudnya adalah sebegini, maka, seorang yang berhati batu, penjenayah terkutuk, mungkin boleh dianggap sebagai bekerja tanpa motif. Dinding tidak mempunyai sebarang perasaan suka dan duka. Begitu juga dengan batu. Namun, benda-benda ini tidak boleh dikatakan sebagai bekerja tanpa motif.

Dalam konteks di atas, doktrin ini menjadi suatu alat merbahaya dalam tangan orang jahat. Mereka akan terus melakukan kerja-kerja jahat dan mengakui diri sebagai orang yang bekerja tanpa motif. Sekiranya ini adalah maksud bekerja tanpa motif, maka, suatu doktrin yang menakutkan akan disebarkan dengan ajaran Gita. Sesungguhnya ini bukan maksudnya. Tambahan lagi, jika kita lihat pada kehidupan orang-orang yang terlibat dengan pengajaran Gita, kita akan mendapati bahawa mereka menjalani kehidupan yang agak berlainan. Arjuna menumpaskan Bhisma dan Drona dalam pertempuran, namun, dia mengorbankan semua kepentingan diri, keinginan, dan dirinya berjuta-juta kali.

Gita mengajar Karma-Yoga. Kita perlu bekerja dengan Yoga (tumpuan). Dalam tumpuan pada kerja (Karma Yoga) begini, kesedaran tentang ego rendah tidak wujud. Apabila seseorang bekerja dengan Yoga, kesedaran bahawa aku sedang membuat ini dan itu tidak akan wujud. Masyarakat Barat tidak memahami ini. Mereka berkata bahawa tanpa kesedaran ego, jika ego telah hilang, bagaimanakah seseorang dapat bekerja? Tetapi apabila seseorang bekerja dengan tumpuan, hilang segala kesedaran akan diri sendiri, maka, kerja yang dilakukan akan pasti lebih baik. Setiap orang mungkin telah mengalami ini dalam hidup mereka sendiri. Kita melakukan banyak kerja-kerja dalam separa kesedaran, seperti penghadaman makanan, dan sebagainya. Banyak kerja-kerja dilakukan dalam keadaan sedar. Dan kerja-kerja lain dengan bertumpu dalam Samadhi, di mana tiada kesedaran ego kecil. Jika seorang pelukis, hilang kesedaran egonya, menjadi tertumpu sepenuhnya pada lukisannya, dia akan dapat menghasilkan suatu lukisan yang terbaik. Tukang masak yang menumpukan seluruh jiwanya pada masakan yang dilakukan, dia akan hilang kesedaran diri pada ketika itu. Namun, mereka hanya dapat melakukan dengan sempurna satu kerja ini yang telah menjadi kebiasaan. Gita mengajar bahawa semua kerja harus dilakukan sebegini.

Orang yang telah bersatu dengan Tuhan menerusi Yoga melakukan segala kerja-kerjanya dengan tertumpu dalam konsentrasi, dan tidak mengharap sebarang faedah peribadi. Kerja yang dilaksanakan sebegini hanya membawa kebaikan kepada dunia. Tidak ada sebarang kejahatan daripadanya. Orang-orang yang bekerja begini tidak melakukan apa-apa untuk dirinya sendiri.

Baik dan buruk bercampuran dalam hasil setiap kerja. Tidak ada sebarang kerja baik yang tidak mempunyai sedikit sentuhan kejahatan dalamnya. Bagai asap dalam api, sedikit kejahatan terkandung dalam kerja. Kita perlu melakukan kerja-kerja yang paling banyak membawa kebaikan dan hanya sedikit kejahatan. Arjuna membunuh Bhisma dan Drona. Jika ini tidak dilakukan, maka, Duryodhana tidak akan dapat ditewaskan, dan akibatnya, kuasa-kuasa jahat akan menumpaskan kuasa-kuasa baik. Akibatnya, suatu kecelakaan besar akan menimpa seluruh negara. Kerajaan akan dirampas oleh sekumpulan raja-raja bongkah yang jahat. Rakyat akan ditimpa penderitaan. Begitu juga, Sri Krishna membunuh Kamsa, Jarasandha, dan orang-orang zalim lain. Namun, tidak ada satupun tindakannya yang untuk kepentingan diri-Nya. Setiap tindakan-Nya adalah demi kebaikan orang lain.

Kita sedang membaca Gita di bawah cahaya lilin. Namun, banyak serangga-serangga yang mati hangus. Maka, boleh dilihat bahawa terdapat sedikit kejahatan pada kerja. Mereka yang bekerja tanpa sebarang kesedaran tentang ego rendah mereka tidak terjejas dengan kejahatan. Ini kerana mereka bekerja demi kebaikan dunia. Bekerja tanpa motif, bekerja tanpa ikatan, membawa kebahagiaan tertinggi dan kebebasan. Rahsia Karma-Yoga ini diajar oleh Bhagavan Sri Krishna dalam Gita.

(Complete Works of Swami Vivekananda, Vol. V. 246-49)